Pembantu Rumah: Kementerian Sumber Manusia Adakan Taklimat Sekali Lagi

Diterbitkan: Khamis, 28 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia akan mengadakan taklimat sekali lagi dengan Agensi Pekerjaan Swasta (APS) bagi memastikan mereka benar-benar faham mengenai syarat dan prosedur pengambilan pembantu rumah Indonesia.

Ketua Setiausaha kementerian berkenaan, Datuk Seri Zainal Rahim Seman berkata, keputusan ini diambil berikutan beberapa syarat tidak disempurnakan oleh agensi yang menguruskan kemasukan 29 orang pembantu rumah Indonesia pada 29 Mei lalu.

"APS terbabit gagal mendapatkan pengesahan daripada Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) terhadap kontrak kerja antara majikan dan pekerja.

"Dalam masa yang sama, APS gagal menyerahkan dokumen AN-05 iaitu maklumat diri pembantu rumah, maklumat majikan dan agensi pekerjaan kepada KBRI," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, KBRI tiada halangan jika APS menyegerakan kesempurnaan dokumen berkenaan dan kementerian itu telahpun memaklumkan perkara tersebut kepada agensi terbabit supaya mengambil tindakan segera.

Bagaimanapun, berikutan perbincangan dengan KBRI, mereka telah bersetuju kesemua 29 orang pembantu domestik itu kekal di Malaysia.

Manakala agensi pekerjaan terlibat perlu segera mengambil tindakan untuk melengkapkan beberapa dokumen yang memerlukan pengesahan daripada pihak KBRI, katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan