Kerajaan Akan Siasat Import Rod Dawai, Keluli Dari Lima Negara - MITI

Diterbitkan: Khamis, 28 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memulakan penyiasatan awal mengenai import rod dawai keluli dari lima negara iaitu Taiwan, China, Indonesia, Korea Selatan dan Turki.

"Kerajaan telah menentukan bahawa terdapat bukti yang mencukupi bagi lambakan, kemudaratan dan hubung kait antara kedua-duanya," kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan pada Khamis.

Penyiasatan itu dibuat susulan petisyen daripada pengeluar tempatan bagi mengenakan duti anti-lambakan ke atas pengimportan rod wayar keluli.

Pempetisyen mendakwa rod dawai keluli yang diimport dari negara-negara terbabit dibawa masuk ke Malaysia dengan harga yang lebih rendah daripada yang dijual di pasaran domestik mereka.

Ia juga mendakwa ini menyebabkan kemudaratan kepada industri tempatan. MITI berkata penyiasatan itu sejajar dengan Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 dan peraturan yang berkaitan.

"Satu penentuan awal akan dibuat dalam tempoh 120 hari daripada tarikh permulaan siasatan.

"Sekiranya penyiasatan akhir didapati mengiakannya, kerajaan mungkin akan mengenakan duti anti-lambakan pada kadar yang akan dikenal pasti berdasarkan lambakan yang berlaku," kata MITI.

Kementerian itu menggesa semua pihak yang berkepentingan iaitu pengimport, pengeluar asing, pengeksport dan persatuan, mendapatkan borang kaji selidik berkaitan penyiasatan itu tidak lewat daripada 11 Julai.

Pihak berkepentingan juga dijemput untuk memberi pandangan mereka secara bertulis terutamanya dengan mengisi borang kaji selidik tersebut serta bukti berkaitan kepada MITI pada atau sebelum 5 Ogos.

Sekiranya tiada maklumat tambahan diterima dalam tempoh yang ditetapkan, kerajaan boleh membuat penentuan awal berdasarkan fakta yang sedia ada. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Produk Berkaitan

Iklan