Zahid: Tidak Benar Isteri Hantar SMS Ugutan Kepada Presiden PVTM

Diterbitkan: Selasa, 26 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan isterinya menghantar sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan kepada Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) berhubung rancangan demonstrasi di hadapan Kementerian Pertahanan (Mindef) minggu lalu.

Menteri Pertahanan itu sebaliknya berkata, sebahagian daripada 16 SMS yang dihantar isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis kepada Presiden PVTM, Mohd Ali Baharom hanya bersifat nasihat.

"Saya tanya isteri saya berapa SMS dia hantar...dia kata 16 SMS. Isteri saya nasihatkan Ali, tapi Ali cuma ambil satu ayat sahaja.

"Saya baca balik (SMS yang dihantar) ia bukan satu ugutan, kenapa dia merasa ia adalah ugutan? Ali biasa ugut orang, bila kena begitu dia rasa terugut.

"Saya tak fikir (isteri mengugut), siapalah isteri saya nak ugut seorang presiden sebuah persatuan yang besar," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, Selasa.

Ahmad Zahid berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Mohd Ali bahawa beliau menerima SMS amaran daripada isterinya berhubung cadangan penganjuran demonstrasi di Mindef.

Selain itu, Ahmad Zahid turut menyifatkan Mohd Ali sebagai tidak bercakap benar apabila mendakwa terpaksa menangguhkan demonstrasi itu dengan alasan beliau (Zahid) 'melarikan diri' ke kem komando di Mersing pada hari berkenaan.

"Kalau dia nak mengadakan demonstrasi, itu hak dia. Tapi kalau katakan saya tak dapat jumpa mereka pada tarikh itu kerana kononnya saya bercuti di kem mersing, pada hal saya tak pergi pun Mersing.

"Janganlah tipu kepada media, jangan tipu rakyat. Kalau nak berkhidmat untuk bekas tentera, berkhidmatlah dengan jujur," katanya lagi.

Sementara itu, mengulas mengenai demonstarsi yang diadakan oleh PVTM di hadapan rumah Pengerusi Bersama Bersih, Datuk S. Ambiga, Ahmad Zahid berkata: "Jangan malukan diri sendiri."

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan