PM Seru Sektor Awam, Swasta Sedia Peluang Pekerjaan Kepada Golongan OKU

Diterbitkan: Selasa, 26 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin menyeru sektor awam dan swasta agar menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) supaya mereka dapat menjalankan kehidupan dengan rasa megah dan nilai diri yang tinggi.

Beliau berkata, golongan itu perlu diberikan peluang pekerjaan untuk memajukan diri agar mereka tidak menjadikan kekurangan pada diri untuk menagih simpati, sebaliknya membuktikan mereka juga mampu bekerja seperti orang lain dan menyumbang kepada pembangunan negara.

"Pembukaan bilik pameran Faresh Motor adalah bertepatan dengan Gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh saya, di mana kerajaan sesekali tidak akan mengenepikan kemampuan dan kebolehan mana-mana bakat rakyat dari golongan OKU dan sekaligus akan mengoptimumkan potensi mereka.

"Semoga langkah ini akan diikuti oleh badan dan syarikat swasta termasuk sektor awam supaya sebahagian daripada jawatan di sektor masing-masing memberi peluang perniagaan dan pekerjaan kepada golongan OKU agar menjadi warganegara yang berguna dan produktif," katanya dalam ucapan ketika merasmikan bilik pameran wakil pengedar sah Perodua yang pertama dimiliki dan berkonsepkan mesra OKU di Faresh Motor (M) Sdn Bhd di sini.

Turut hadir Pengarah Urusan Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh dan Pengarah Urusan Faresh Motor (M) Sdn Bhd Ahmad Faresh Ahmad Zahid.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga mengamalkan kebajikan produktif yang bertujuan untuk memberi perhatian kepada golongan OKU dengan menyediakan peluang perniagaan kepada mereka melalui program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA) Teman 1Azam OKU.

"Kita lihat bagaimana tokoh-tokoh seperti Professor Stephen Hawking dari Britain yang menghidapi penyakit 'motor neuron disease' serta hampir lumpuh seluruh tubuh badan dan hanya mampu berkomunikasi melalui alat khas, telah memberi sumbangan yang tidak ternilai kepada masyarakat sejagat.

"Dan di Malaysia sendiri, kita masih ingat akan kejayaan pakar ekonomi terkemuka Senator Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh yang cacat penglihatan. Semua ini kita harus menjadikan contoh dan teladan bahawa seorang yang digelar OKU, tidak bererti tidak boleh menyumbang kepada negara, diri dan keluarga," kata Najib.

Mengenai pembukaan bilik pameran Faresh Motor, Perdana Menteri mengucapkan tahniah kepada Perodua kerana memberi peluang kepada Ahmad Faresh untuk membuka bilik pameran itu yang berkonsepkan mesra OKU.

"Saya bangga dengan kejayaan dan kesungguhan saudara Faresh sebagai pengedar Perodua, dan berpeluang melihat bilik pameran yang dijadikan contoh kepada masyarakat bagaimana bilik itu boleh diolah dan disediakan dengan ciri-ciri yang amat diperlukan oleh golongan OKU," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan