Mohd Zin Cabar MB Selangor Pecat Segera Faekah

Diterbitkan: Selasa, 26 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohd mencabar Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim memecat setiausaha politiknya, Faekah Husin dengan segera.

Berdasarkan laporan berita yang menunjukkan Faekah memberi kenyataan yang salah, Mohd Zin berkata satu-satunya cara untuk menghentikan isu ini ialah dengan Khalid sendiri yang memecat Faekah daripada pentadbiran kerajaan negeri.

"Khalid telah memecat bekas pegawai khas beliau, Yahya Sahri pada tahun 2008 selepas Yahya dikatakan telah menyalahgunakan kepala surat kerajaan negeri untuk mengutip derma.

"Jadi, mengapa langkah yang sama tidak diambil terhadap Faekah? Mengapa bersikap 'double standard'?.

"Kita akan tunggu dan lihat apa yang beliau (Khalid) akan lakukan terhadap setiausaha politik kegemaran beliau ini," kata Mohd Zin dalam satu sidang akhbar di bangunan Umno Negeri, Selasa.

Faekah dilaporkan telah mengeluarkan surat sokongan kepada syarikat yang memohon kontrak dengan kerajaan negeri.

Menurut beberapa portal dan blog, syarikat itu adalah syarikat milik saudara yang mencetuskan skandal terbaru yang membawa pergolakan kerajaan negeri.

Dalam perkembangan lain, Mohd Zin mempersoalkan bagaimana kerajaan negeri menjana geran Selangorku berjumlah RM300 juta.

Menyifatkan cara menjana geran sebagai "mencurigakan", beliau menggesa Khalid untuk melepaskan semua maklumat berhubung geran tersebut.

"Walaupun banyak kali mempersoalkan beliau (Khalid) tentang bagaimana beliau mendapat wang dan bagaimana wang itu dibelanjakan, kita tidak pernah mendapat jawapan yang kukuh.

"Beliau, sebaliknya, menunjukkan akaun geran kepada ahli-ahli exco sahaja dan tidak kepada orang ramai. Apakah yang beliau mahu sembunyikan? Adakah pemberian itu untuk tujuan menghadapi pilihan raya?" tanya beliau.

Memetik maklumat dalaman yang beliau terima baru-baru ini, Mohd Zin mendakwa nama Faekah muncul sebagai orang yang bertanggungjawab dalam pemberian geran.

"Sumber saya memberitahu saya bahawa dia mengawal wang. Dia menentukan ke mana wang itu pergi dan dia melakukan ini tanpa pengetahuan Menteri Besar," beliau mendakwa.

Tahun lepas, ketika membentangkan Bajet Negeri 2012, Khalid telah mengumumkan bahawa RM300 juta telah diperuntukkan untuk pembangunan infrastruktur negeri dalam empat fasa.

Laporan terbaru yang diterima daripada Pusat Khidmat Rakyat Barisan Nasional (Pakar), Mohd Zin berkata penduduk di Lembah Klang telah menyatakan rasa tidak puas hati mengenai isu-isu yang melibatkan sampah yang tidak dikutip di kawasan perumahan mereka.

Daripada 5,550 panggilan yang diterima oleh rakyat Selangor, beliau berkata sebanyak 20 peratus adalah aduan manakala selebihnya adalah pertanyaan berkaitan dasar-dasar kerajaan.

Daripada aduan 20 peratus, Mohd Zin berkata 75 peratus telah diselesaikan dengan bantuan daripada majlis-majlis tempatan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan