Malaysia Tidak Anggap AS Campur Tangan Rantau Asean

Diterbitkan: Selasa, 26 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak menganggap cadangan Amerika Syarikat (AS) menggunakan pangkalan udara di Thailand sebagai bentuk campur tangan negara itu di rantau Asean.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia menghormati dasar dan perjanjian bersama kedua-dua negara berkenaan terutama cadangan menjadikan Thailand sebagai pangkalan tetap kajian iklim serantau dan operasi bantuan bencana dan kemanusiaan.

"Oleh kerana ada perjanjian antara Thailand dengan AS, kita menghormati perjanjian antara kedua-dua negara berkenaan.

"Dalam perkara ini saya tak anggap ia sebagai campur tangan pihak AS untuk rantau Asean," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, Selasa.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata, AS mempunyai hak untuk mengadakan kerjasama dengan mana-mana negara sekutu mereka.

"Tentulah AS berhak untuk mengadakan kerjasama dua hala dengan mana-mana negara yang mereka anggap sebagai sahabat atau sekutu," katanya.

Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat ingin menggunakan pangkalan udara U-tapao sebagai pusat operasi bantuan bencana dan kemanusiaan manakala Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) mahu menggunakan kemudahan itu bagi menjalankan kajian iklim serantau.

Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra dilaporkan berkata, pasukan keselamatan negara itu tidak membantah cadangan Amerika Syarikat itu.

Thailand merupakan salah satu sekutu utama AS di rantau ini khususnya semasa Perang Vietnam dengan membenarkan tentera Amerika menggunakkan kemudahan penting dan masih mengekalkan hubungan mesra.

Cadangan itu menimbulkan kontroversi apabila parti pembangkang, Demokrat, mendakwa kerajaan Thailand bersetuju sebagai pertukaran untuk visa ke Amerika Syarikat bagi bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra walaupun pentadibiran Yingluck menafikannya.

Cadangan itu menerima bantahan kerana ia mungkin menceroboh kedaulatan wilayah dan perlu mendapatkan kelulusan Parlimen terlebih dahulu.

Manakala ada pihak berpendapat projek NASA mungkin menimbulkan kebimbangan pengintipan ke atas negara jiran kerana ia membabitkan penerbangan altitud tinggi.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan