Pemandu Teksi Dapat Rangsangan Hampir RM35 Juta Di Bawah TR1MA

Diterbitkan: Isnin, 25 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad mengumumkan insentif hampir RM35 juta untuk golongan pemandu teksi di negara ini melalui program Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1MA).

Najib berkata di bawah program TR1MA ini, setiap pemandu pertama teksi akan menerima baucar subsidi tayar sebanyak RM520 bagi penggantian empat tayar untuk tempoh dua tahun.

"Subsidi sejumlah RM34.84 juta yang disalurkan oleh 1Malaysia Development Bhd ini akan memanfaatkan seramai 67,000 pemandu teksi di seluruh negara," katanya semasa melancarkan TR1Ma di hadapan 25,000 pemandu teksi di Stadium Bukit Jalil di sini.

Beliau berkata jenis teksi yang layak menerima subsidi ini ialah teksi bajet, teksi eksekutif, kereta sewa dan teksi lapangan terbang.

Selain itu, Najib juga mengumumkan bahawa kerajaan melalui Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan akan menyediakan dana lebih daripada RM1 juta untuk menyediakan Skim Insurans Perlindungan Kemalangan Diri kepada 100,000 pemandu teksi di seluruh negara.

Beliau berkata, ini adalah inisiatif jangka pendek kerajaan untuk meringankan beban golongan pemandu teksi di negara ini.

Perdana Menteri berkata sebagai sebuah kerajaan yang prihatin untuk membantu semua golongan, rintihan yang dihadapi pemandu teksi yang merupakan kumpulan yang besar, juga wajar diberi perhatian.

"Kita ada hasrat dan perancangan untuk perbaiki lagi kebajikan dan tentukan masa depan yang lebih baik lagi kepada pemandu teksi," katanya.

Perdana Menteri juga mengumumkan bahawa daripada segi perancangan jangka panjang, kerajaan sedang meneliti untuk memperkenalkan satu model baru untuk perkembangan industri teksi di negara ini, bagi memastikan industri itu dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna di samping kebajikan pemandu teksi terus terjaga.

"Dalam masa satu dua tahun ini, kita akan bergerak ke model baru untuk industri teksi. Kita sedang merangka ciri-cirinya," katanya.

Beliau berkata, antara ciri yang diteliti di bawah model baru itu ialah sistem pemberian permit teksi kepada individu.

Katanya, kerajaan juga mengkaji semula untuk melonggarkan pemberian rebet kepada pemandu teksi untuk melupuskan teksi lama mereka supaya bantuan itu dapat memanfaatkan lebih ramai pemandu teksi.

Di bawah Belanjawan 2012, kerajaan telah menawarkan bantuan rebet RM3,000 bagi melupuskan teksi lama melebihi tujuh tahun tetapi kurang daripada 10 tahun, manakala bagi teksi yang berusia 10 tahun ke atas, bantuan rebet RM1,000 akan diberikan.

Dalam itu, Perdana Menteri juga meminta golongan pemandu teksi menyerlahkan lagi amalan-amalan nilai murni kerana mereka sebagai duta kecil negara yang mempunyai peranan penting dalam membantu pembentukan imej dan persepsi pengunjung asing yang datang ke negara ini terhadap Malaysia.

"Saya mahu bantu tuan-tuan dan puan-puan, supaya tuan-tuan dan puan-puan juga dapat memainkan peranan besar untuk menjulang nama negara.

"Tolong bantu kita dalam urusan harian kerana kita nak transformasi negara kita bukan saja dari segi nilai ekonomi dan pendapatan tetapi juga dari segi pembentukan perwatakan manusia yang menpunyai nilai dan sikap murni," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar dan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim Siang Chai. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan