November Diisytihar Bulan Keluarga

Diterbitkan: Isnin, 25 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bulan November diisytiharkan sebagai Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia bermula tahun ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu persidangan Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata langkah itu dibuat untuk memberi keutamaan kepada perspektif keluarga dalam pembangunan sosioekonomi negara.

Katanya ia selaras dengan Gerakan 1Malaysia Family First di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan yang dilancarkan pada 17 Jun lepas menerusi pelaksanaan Dasar Keluarga Negara.

"Kementerian amat menitikberatkan pengukuhan isntitusi keluarga kerana ia merupakan kunci kepada kejayaan sesebuah negara" katanya semasa menjawab soalan Zuraida Kamaruddin (PKR-Ampang).

Najib berkata bagi syarikat swasta yang menganjurkan hari keluarga untuk pekerja-pekerja mereka, rebat atau potongan 100 peratus akan diberikan untuk semua perbelanjaan keraian.

Beliau juga memberitahu bahawa kerajaan sedang memastikan kumpulan wanita yang kompeten untuk diketengahkan sebagai Ahli Lembaga Pengarah di Syarikat Awam Tersenarai (PLC) selaras dengan keputusan kerajaan untuk melaksanakan Dasar Sekurang-Kurangnya 30 Peratus Wanita di peringkat pembuat keputusan dalam sektor korporat. Katanya bagi ke arah itu Kementerian

Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah melaksanakan inisiatif Program Pengarah Wanita bertujuan meningkatkan pengetahuan serta kemahiran kritikal golongan tersebut dalam melaksanakan peranan sebagai Ahli Lembaga Pengarah menerusi kaedah latihan yang berstruktur dengan mengambil kira kemahiran teknikal serta sifat terpuji.

Beliau berkata disasarkan seramai 200 orang pengarah wanita akan dilatih menjelang bulan Disember ini.

"Setakat ini, seramai 200 orang pengarah wanita yang berkaliber telah dilatih pada Februari lepas dan siri selanjutnya akan diadakan pada bulan depan," katanya.

Najib berkata selain itu satu daftar Ahli Lembaga Pengarah Wanita juga telah beroperasi pada April lalu sebagai sumber calon wanita korporat yang kompeten dan sesuai untuk dilantik di dalam PLC.

Di samping itu beliau berkata KPWKM dan TalentCorp sedang mengadakan program untuk mengenal pasti peluang pekerjaan yang sesuai kepada wanita profesional termasuk membangunkan micro-site, satu pangkalan data khusus bagi wanita profesional yang ingin kembali bekerja.

Beliau berkata micro-site yang bakal dilancarkan pada bulan depan itu akan berperanan untuk memadankan golongan berkenaan dengan syarikat-syarikat yang mempunyai insentif dan kemudahan sokongan. Katanya bagi syarikat-syarikat terbabit, kerajaan akan memberikan insentif potongan cukai berganda ke atas perbelanjaan latihan mulai tahun taksiran 2013.

Dalam perkembangan lain Najib berkata seramai 80,597 orang telah menyertai Program 1Azam bagi tempoh Januari 2011 hingga 30 April lalu dan jumlah itu di jangka mencapai 100,000 orang menjelang akhir tahun ini.

"Program ini telah menampakkan keberkesanannya berdasarkan kepada jumlah penyertaaan khususnya daripada senarai e-Kasih dan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat meliputi kawasan bandar dan luar bandar," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan