Malaysia Kesal Tindakan Kekerasan Terhadap Kepentingan Negara Di Indonesia

Diterbitkan: Isnin, 25 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Malaysia sama sekali tidak dapat menerima tindakan kekerasan yang membabitkan kepentingan negara ini di Indonesia dan komen-komen provokatif yang telah dilakukan oleh beberapa pihak di Indonesia kebelakangan ini.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata tindakan kekerasan oleh sekumpulan penunjuk perasaan yang dikatakan mewakili Pemuda Pancasila di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Kuningan dan di hadapan Wisma Malaysia di Menteng, Jakarta, pada 22 Jun lepas serta komen-komen provokatif oleh seorang anggota Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia dalam program 'Neo Democrazy' siaran Metro TV pada 21 Jun lalu merupakan tindakan yang boleh dikecam.

"Adalah amat dikesali sekali tindakan liar dan komen-komen provokatif tersebut dibuat ekoran tuduhan meleset dan ketidakfahaman tentang rancangan atau rencana untuk melestari dan memelihara budaya warisan masyarakat Mandailing yang berasal dari Sumatera di Malaysia.

"Rancangan tersebut sememangnya tidak bermaksud bahawa budaya warisan berkenaan berasal dari Malaysia," katanya dalam kenyataan media di sini, Ahad.

Anifah berkata tindakan kumpulan penunjuk perasaan tersebut telah mengakibatkan kecederaan kepada seorang anggota keselamatan/pengaman Kedutaan Malaysia yang ditempatkan di Wisma Malaysia dan hampir mencederakan seorang anggota yang lain.

Kedua-dua anggota keselamatan yang bertugas merupakan warga Indonesia.

Katanya tindakan kekerasan tersebut juga telah mengakibatkan kerosakan kepada bangunan Wisma Malaysia dan persekitarannya, di samping mengancam keselamatan pegawai dan kakitangan serta keluarga mereka yang ditempatkan di bangunan berkenaan.

"Berdasarkan hubungan istimewa dan saling menguntungkan yang telah sekian lama terjalin antara Malaysia dan Republik Indonesia, kerajaan Malaysia percaya bahawa kerajaan Indonesia akan mengambil langkah-langkah susulan sewajarnya dalam menangani tindakan agresif dan provokatif tersebut.

"Kerajaan Malaysia juga sebelum ini telah meminta dan terus berharap agar semua premis-premis kerajaan Malaysia dilindungi dari sebarang ancaman sejajar dengan peruntukan Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Diplomatik 1961," katanya.

Katanya kedutaan Besar Malaysia di Jakarta telah mengemukakan dua nota diplomatik kepada Kementerian Luar Negeri Republik Indonesia pada 22 Jun lalu bagi menyampaikan pendirian, kekesalan dan keprihatinan kerajaan Malaysia terhadap tindakan kekerasan dan provokatif tersebut.

Jelasnya kedutaan Malaysia juga berhubung dengan pihak berkuasa Indonesia bagi menangani perkembangan ini dengan lebih berkesan.

Sementara itu Wisma Putra telah meminta Kuasa Usaha Sementara di Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur supaya hadir esok di kementerian itu untuk menerangkan pendirian Malaysia berhubung perkembangan tersebut. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan