Bekas Ketua Pemuda PKR Terengganu Desak Anwar Beri Kenyataan Bersumpah Kepada SPRM

Diterbitkan: Ahad, 24 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat kenyataan bersumpah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung harta bernilai jutaan ringgit didakwa dimiliki Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali.

Bekas Ketua Pemuda PKR Terengganu Fakrul Azmin Abu Bakar meminta Ketua Pembangkang itu dengan membuat kenyataan bersumpah itu dalam masa tujuh hari.

"Jika Anwar jujur dengan kenyataan akan beri kerjasama, maka kita meminta Anwar beri penjelasan bagaimana Azmin Ali boleh memiliki aset saham dan wang bernilai berjuta-juta sedangkan gaji Azmin hanya RM2,400 sebulan (pada ketika itu).

"Jika tidak, akuan kerjasama ini adalah satu lagi agenda putar alam Anwar," katanya dalam kenyataan menerusi khidmat pesanan ringkas kepada Bernama di sini malam Sabtu.

Fakrul Azman juga mahu Anwar memfailkan saman fitnah terhadap bekas Pengarah Penyiasatan Badan Pencegahan Rasuah Abdul Razak Idris, untuk membuktikan siapa sebenarnya yang bercakap benar.

Beliau juga mahu Anwar membuktikan yang beliau jujur untuk memberi kerjasama kepada SPRM dalam siasatan berhubung pemilikan wang, saham dan aset berjumlah RM3 bilion.

Bekas Penolong Gabenor Bank Negara Datuk Abdul Murad Khalid dalam akuan berkanunnya mendedahkan Anwar, semasa memegang jawatan Menteri Kewangan pada 1990-an, pernah mengawal sebanyak 20 akaun induk membabitkan aset, saham dan wang yang keseluruhannya bernilai lebih RM3 bilion. -BERNAMA

iklan

iklan

Iklan