JBPM Bakal Tubuh Unit Udara Bomba Wilayah Utara

Diterbitkan: Sabtu, 23 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KEPALA BATAS: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menubuhkan sebuah unit udara bagi wilayah utara yang berpangkalan di Bertam di sini, selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Pengarah JBPM Pulau Pinang Azmi Tamat berkata fungsi utama pasukan yang dilengkapi sebuah helikopter itu ialah mengawal kebakaran terbuka yang berlaku di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

"Setakat ini memang tiada laporan kebakaran terbuka di negeri-negeri utara tetapi pasukan itu yang beroperasi di Subang sebelum berpindah ke Balai Bomba dan Penyelamat Bertam telah mula menjalankan kerja-kerja pemantauan bagi memastikan ia (kebakaran terbuka) terkawal," katanya ketika ditemui pemberita pada Kempen Keselamatan Kebakaran Zon Butterworth, di sini Sabtu.

Katanya pasukan itu juga akan menjalankan peranan lain termasuk membantu memindahkan pesakit kritikal.

Sementara itu, Azmi berkata jumlah kerugian akibat kebakaran di Pulau Pinang bagi tahun ini sehingga semalam, ialah RM12 juta dan jumlah itu berkurangan sedikit berbanding tahun lepas.

"Sepanjang tahun lepas, jumlah kerugian yang direkodkan akibat kebakaran ialah RM72 juta dan saya yakin kita mampu mengurangkan jumlah kebakaran dengan menjalankan kempen keselamatan seperti hari ini," katanya.

Katanya tahun lepas 1,903 kejadian kebakaran direkodkan manakala untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini sebanyak 767 kes dilapor. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan