Isu Faekah: Menulis Surat Minta Pertimbangan Tidak Salah - MB Selangor

Diterbitkan: Sabtu, 23 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menganggap tindakan setiausaha politiknya menghantar surat kepada syarikat Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) agar sebuah firma guaman 'dipertimbangkan' menjadi panel peguam di PNSB, adalah tidak salah.

Beliau berkata setiausaha politiknya itu menghantar surat terbabit bagi mendapatkan perhatian daripada PNSB berhubung perkara berkenaan dan bukan atas sebab lain.

"Surat itu cuma untuk dipanjangkan dan untuk dipertimbangkan oleh syarikat berkenaan (PNSB). Dalam etika pun ia tidak salah dan bila diminta untuk dipertimbangkan, tindakan selanjutnya terpulanglah kepada syarikat berkenaan untuk menerima atau menolak," katanya kepada pemberita di majlis pembukaan kompleks beli-belah Setia City Mall di Setia Alam di sini, Sabtu.

Terdahulu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan pembukaan kompleks berkeluasan 4.2 hektar itu.

Abdul Khalid berkata amalan menulis surat untuk tujuan mendapatkan perhatian dan pertimbangan pihak lain merupakan perkara biasa bagi pihaknya. "Ia biasa, saya kadang-kadang pun tulis surat untuk tujuan itu. Dalam kes ini, walaupun surat itu telah dipanjangkan kepada PNSB, tetapi firma guaman terbabit tidak dilantik pun untuk menjadi panel peguam di syarikat terbabit," katanya.

Sebuah blog baru-baru ini mendakwa setiausaha politik kepada Menteri Besar Faekah Husin menulis surat kepada PNSB agar firma guaman milik anak saudaranya itu dilantik menjadi panel peguam di syarikat berkenaan.

Dalam laporan akhbar pada Sabtu, Faekah mengaku menulis surat terbabit tetapi mendakwa ia bertujuan untuk mendapatkan pertimbangan daripada PNSB berhubung perkara berkenaan.

Faekah turut menjelaskan surat itu dihantar bersama beberapa surat firma guaman lain yang turut berminat menjadi panel guaman di PNSB dan syarikat milik kerajaan negeri lain.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai peletakan jawatan Rafizi Ramli sebagai Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Abdul Khalid berkata tindakan Rafizi adalah untuk bertindak bebas dalam mengutarakan sebarang pandangan. "Beliau (Rafizi) memang nak fokus untuk jadi anggota Parlimen, maka perlu bertindak secara berkecuali. Kita sangat profesional, bekerja sebagai satu pasukan dan tidak wujud masalah antara saya dengannya," katanya.

Beliau berkata jawatan Rafizi itu juga tidak akan disandang individu lain kerana perkara yang lebih penting adalah terus menumpukan perhatian dalam tugas mentadbir kerajaan negeri.

Rabu lepas, Rafizi yang juga merupakan Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerusi laman twitternya menulis mengenai peletakan jawatannya itu. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan