Syarikat Terlibat Rasuah Akan Disenaraihitam SPRM

Diterbitkan: Jumaat, 22 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Syarikat yang didapati bersalah memberi rasuah akan disenaraihitam dan nama syarikat berkenaan akan dicatatkan dalam pangkalan data pesalah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sehingga kini, senarai pangkalan data SPRM mempunyai 900 nama individu yang didapati bersalah kerana rasuah.

Nama mereka akan kekal selama tempoh tiga tahun daripada tarikh sebaik sahaja didapati bersalah oleh mahkamah. Senarai tersebut sentiasa dikemaskini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seru Abu Kassim Mohamad berkata terdapat sekurang-kurangnya dua syarikat multinasional dan sebuah syarikat yang dimiliki oleh kerabat diraja akan turut disenaraikan.

Beliau berkata demikian kepada The Star bahawa sebuah pasukan petugas khas akan ditubuhkan secepat mungkin “bagi memudahkan mereka yang ingin menjalankan perniagaan di dalam dan luar negara.”

Menurutnya, pihaknya mahu mereka yang terlibat dengan perniagaan atau projek yang melibatkan agensi kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menyemak senarai tersebut sebelum membuat sebarang penawaran.

“Kita mahu memastikan bahawa semua orang mematuhi prosedur yang ditetapkan sejajar dengan garis paduan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Program Transformasi Kerajaan,” katanya.

Beliau berkata pihak Kedutaan Amerika Syarikat turut memaklumkan kepada SPRM bahawa mereka mungkin tidak akan mengeluarkan visa kepada mereka yang disenaraikan dalam pangkalan data tersebut.

Bagi pangakalan data pesalah individu, setiap syarikat akan mempunyai profil dan sejarah kes-kes mereka termasuk pertuduhan, hukuman, mahkamah, hakim perbicaraan, timbalan pendakwa raya dan peguam bela.

Sebelum ini The Star memetik, Pengarah bahagian Pendakwaan dan Undang-undang SPRM, Datuk Abdul Razak Musa sebagai berkata orang ramai merungut dengan mengatakan pangkalan data tersebut merupakan satu bentuk hukuman dua kali kepada pesalah kerana ia memalukan mereka.

Beliau menegaskan, tindakan SPRM itu adalah bagi mendidik masyarakat tentang betapa seriusnya kesalahan rasuah.

"Kami mahu menimbulkan kesedaran atas kesalahan yang mereka akan hadapi sekiranya mereka menerima atau memberi rasuah.

"Tidak ada pemberi atau penerima rasuah kerana wujud tanggapan yang salah dikalangan orang asing bahawa menerima rasuah bagi menyelesaikan masalah mereka telah menjadi budaya masyakarat di negara ini ,” kata Abdul Razak.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan