"Siapa Hendak Buat Haji Dahulukan Haji Daripada Segala-galanya" - PM

Diterbitkan: Jumaat, 22 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Najib (kanan) pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Datuk Onn di Kuala Lumpur. Foto NORAFIFI EHSAN
Najib (kanan) pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Datuk Onn di Kuala Lumpur. Foto NORAFIFI EHSAN

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau tidak akan terikat atas desakan daripada mana-mana pihak supaya tidak mengadakan pilihan raya umum (PRU) ke-13 pada musim haji.

Bagaimanapun Najib berkata, beliau tidak menyekat sesiapa pun untuk mengerjakan haji kerana ia mestilah diberi keutamaan.

"Kita tak sekat siapa-siapa nak naik haji dan itu mestilah diutamakan,bukan urusan lain termasuk pilihan raya.

"Kalau kita sudah buat ketetapan untuk naik haji, kita wajib teruskan.

"(Bagaimanapun) Saya tidak akan terikat atas desakan PAS atau mana-mana pihak (untuk tidak adakan PRU-13 pada musim haji)," ujarnya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Datuk Onn di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kenyataan pelbagai pihak termasuk Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu bahawa perdana menteri harus bertanggungjawab ke atas dosa umat Islam di Malaysia sekiranya PRU-13 diadakan pada musim haji tahun ini.

Najib berkata: "Maknanya dia (Mohamad Sabu) lebih daripada Tuhan tentukan soal dosa dan pahala orang lain."

Beliau yang juga presiden Umno berkata, dalam sejarah negara ini, pilihan raya umum pernah diadakan pada musim haji iaitu pada tahun 1986.

(Nota: Pilihan raya umum 1986 berlangsung pada 3 Ogos, 13 hari sebelum Aidiladha.)

"Saya tahu masa zaman Tun Hussein Onn dulu, sebab masa itu salah seorang ahli jawatankuasa bahagian saya dicalonkan untuk bertanding dalam pilihan raya tetapi pada masa itu dia sedang berada di Mekah.

"Bila dia balik dia terima hakikat bahawa dia tidak jadi wakil rakyat. Jika dia bertanding, dia pasti menang," jelas Najib.

Mohamad Sabu sebelum ini berkata, jika PRU-13 akan diadakan pada musim haji, Najib perlu menanggung dosa umat Islam yang menangguhkan ibadah haji kerana khuatir tidak dapat mengambil bahagian dalam pilihan raya itu nanti.

Akhbar The Star sebelum ini pernah melaporkan bahawa Lembaga Urusan dan Tabung Haji menyatakan kumpulan pertama jemaah haji Malaysia yang berjumlah 27,900 orang akan mula berlepas ke Arab Saudi pada 17 September.

Kemuncak kepada ibadah haji ialah sambutan Hari Raya Korban yang dijangka jatuh sama ada pada 26 atau 27 Oktober.

Kumpulan terakhir rakyat Malaysia yang akan pulang daripada mengerjakan haji ialah pada 29 November.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan