PAS Letak Syarat Setuju Sokong Lynas

Diterbitkan: Khamis, 21 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: PAS menyatakan persetujuan mengenai pembinaan projek Lynas Advance Materials Plant (LAMP) di Gebeng, Pahang sekiranya kerajaan memberi jaminan dapat menyelesaikan isu berkaitan keselamatan dan kesihatan.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata parti itu tidak ada masalah sekiranya kerajaan mahu melaksanakan projek tersebut jika bukti saintifik mengenai tahap keselamatannya dikemukakan.

"Ya (setuju dengan projek Lynas), dan (jika) terbukti ianya selamat. Apa masalahnya? (untuk bersetuju).

"Kita tak kata ianya (Lynas) muktamad sebagai tak selamat. Tetapi apabila kita bangkitkan soalan begini...jawab. Jangan alihkan isu dengan hanya kata radiasi rendah.

"Memang rendah. Tapi masih ada bahaya, jadi beri jaminan macam mana nak tanganinya," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, Rabu.

Selain itu Khalid yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS II Selangor menegaskan pada peringkat ini parti itu tidak bersetuju dengan syor Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) agar kerajaan memberi lesen pengendalian sementara (TOL) kepada Lynas.

"Apa yang kita pertikaikan ialah proses yang begitu cepat memberi kelulusan, belum semua soalan dijawab, lesen nak diberi.

"Berdasarkan laporan, ada banyak persoalan yang tidak dijawab, kami tidak bersetuju dengan keputusan memberi TOL kepada syarikat itu," katanya.

Pada Selasa PSC menerusi syornya memberi lampu hijau kepada Lynas agar diberikan TOL kerana jawatankuasa itu mendapati ia memenuhi segala keperluan yang ditetapkan.

PSC mengesyorkan supaya TOL diberikan agar projek tersebut dapat beroperasi secara berperingkat dan dikawal selia agensi penguatkuasa.

Sementara itu Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat yang juga seorang pakar nuklear berkata PSC gagal mengemukakan laporan berhubung projek berkenaan dari sudut saintifik.

Bagaimanapun Che Rosli menegaskan beliau tidak menolak secara keseluruhan hasil pembentangan laporan tersebut.

"Kita tak boleh terima semua, bila saya baca semua permasalahan yang dikutip oleh PSC adalah bagus. Tapi jawapannya tidak sepenuhnya.

"Tak ada penjelasan statistik. Saya tak nampak jawapan yang betul-betul saintifik dikeluarkan. Kami tak sepenuhnya menolak laporan ini," katanya.

Dalam pada itu Che Rosli turut mencadangkan agar kerajaan melaksanakan ujian makmal bagi mengkaji mengenai tahap keselamatan pembinaan projek Lynas.

"Kerajaan boleh jalankan ujian makmal yang hanya ambil masa dua atau tiga bulan untuk mengetahui hasil dapatannya.

"Masih belum terlambat. Jalankan ujian makmal mengikut skala industri dan kemudian bentangkan kepada rakyat mengenai tahap keselamatan terhadap persekitaran sekiranya projek ini diteruskan," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan