Forum Air: Selangor Sengaja Politikkan Isu Air - Peter Chin

Diterbitkan: Khamis, 21 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Tindakan Kerajaan Negeri Selangor mengadakan Forum Air secara tertutup tanpa menjemput wakil-wakil kerajaan Persekutuan dan operator-operator air hanya bertujuan untuk mempolitikkan isu air di negeri itu, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

Dalam forum yang diadakan pada 12 Jun itu, beliau berkata, kerajaan negeri Selangor mengambil kesempatan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak tepat untuk mengelirukan rakyat tanpa memberi peluang kepada kerajaan Persekutuan menjelaskan kedudukan sebenar.

"Sekiranya kerajaan negeri Selangor benar-benar ikhlas untuk menyelesaikan isu bekalan air di negeri Selangor, mereka sewajarnya berani untuk bersemuka dengan pihak kerajaan Persekutuan dan membincangkan isu-isu tersebut secara profesional dan terbuka sepertimana yang dibuat kerajaan Persekutuan," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Chin berkata, sebelum ini kerajaan Persekutuan menjemput wakil kerajaan negeri Selangor menganggotai Pasukan Petugas bagi Menangani Krisis Bekalan Air di Negeri Selangor, Wilayah Pesekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dipengerusikan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Loo Took Gee.

Beliau berkata, forum terbuka membolehkan semua pihak memberi pandangan secara profesional bagi memastikan rakyat mendapat gambaran sebenar mengenai isu air di negeri Selangor.

Beliau berkata, kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan semasa forum mengenai ketidakwajaran pelaksanaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) seharusnya dibincangkan semasa mesyuarat Pasukan Petugas atau mana-mana forum terbuka.

"Sehubungan itu, kementerian akan mengadakan satu lagi forum air terbuka kepada semua termasuk NGO dengan menjemput wakil-wakil dari kedua-dua pihak untuk mengemukakan pandangan masing-masing. Biar semua fakta-fakta ini diketahui," katanya sambil menambah bahawa satu tarikh akan ditetapkan bagi mengadakan forum itu.

Sementara itu, Chin berkata, masalah gangguan air di Lembah Klang dijangka bertambah teruk pada musim kemarau yang dijangka berlanjutan sehingga Ogos ini apabila kadar permintaan air melebihi kapasiti pengeluaran air.

Berdasarkan maklumat terkini Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), beliau berkata, kapasiti pengeluaran air dari 34 loji-loji dalam negara ialah 4,371 juta liter sehari (JLH) tetapi kadar permintaan tertinggi pada 17 Jun mencecah 4,410 JLH.

"Kapasiti rizab air dijangka menurun pada musim kemarau ini. Contohnya, kapasiti rizab air pada 5 hingga 11 Jun adalah antara 2.06 peratus hingga 1.22 peratus sahaja.

"Kita ada margin rizab yang nipis. Maka, kita perlu menambah kapasiti air dengan membina Langat 2 yang dijangka dapat memastikan lapan juta penduduk di kawasan-kawasan tersebut mendapat bekalan air yang mencukupi dan berterusan dari tahun 2014 sehingga 2025 tanpa membina loji-loji rawatan air tambahan," katanya.

Chin berkata, fasa pertama Langat 2 dijangka membekalkan 1,130 JLH sehari dengan peruntukan sekitar RM5 bilion sahaja berbanding dengan peruntukan sebanyak RM7.2 bilion yang diperlukan untuk menurunkan kadar air tidak berhasil (NRW) dari 32.3 peratus pada tahun ini kepada 20.83 peratus pada tahun 2020 iaitu penjimatan purata tahunan sekitar 126 JLH sahaja.

"Fakta ini jelas menunjukkan bahawa pelaksanaan projek-projek untuk menurunkan kadar NRW bukan merupakan jawapan bagi menangani masalah bekalah air di Selangor sebaliknya pelaksanaan Langat 2 merupakan opsyen terbaik.

"Saya menyeru kerajaan negeri Selangor memberikan kerjasama untuk memberikan kelulusan yang diperlukan bagi melaksanakan Langat 2.

"Saya menyeru kerajaan negeri Selangor supaya tidak membuat kenyataan-kenyataan yang mengelirukan mengenai bekalan air di negeri Selangor tetapi bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan untuk menanganinya demi kebaikan rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan