Dr M : Sekolah Jenis Kebangsaan Akan Lebih Menjarakkan Rakyat

Diterbitkan: Khamis, 21 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kewujudan sekolah vernakular akan menjarakkan rakyat dan menyekat perpaduan di kalangan penduduk pelbagai kaum negara ini.

Katanya, cadangan penubuhan sebuah sekolah tinggi Cina persendirian baru di Kuantan mungkin memberi kesan serupa.

"Kita telah menerima sejak awal lagi bahawa sekolah vernakular boleh ditubuhkan oleh pelbagai masyarakat dan ini menyebabkan golongan muda kita tidak belajar bersama-sama.

"Sekiranya kita mengiktiraf pendidikan Cina dan sijil mereka dan sebagainya, maka kita akan ada tiga golongan rakyat yang berlainan latar belakang pendidikan, dengan setiap satu bercakap dalam bahasa yang berbeza. Malah, saya berpendapat kita tak akan dapat hidup bersama sekiranya kita tidak memahami antara satu sama lain," katanya.

Dr Mahathir berkata demikian selepas melancarkan Pertandingan Menulis Esei Yayasan Kepimpinan Perdana-Yayasan Maybank 2012, di sini, Rabu.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek baru-baru ini dilaporkan berkata beliau berharap sekolah itu mendapat kelulusan untuk ditubuhkan dalam tempoh dua minggu akan datang.

Dr Chua berkata, beliau telah mengadakan perjumpaan dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama para pemimpin tertinggi parti itu berhubung permohonan Sekolah Tinggi Persendirian Chong Hwa Kuala Lumpur untuk menubuhkan sekolah berkenaan di Kuantan.

Beralih kepada isu lain, Dr Mahathir mempersoaljkan kenapa pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menyaman bekas penolong gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Abdul Murad Khalid yang membuat perisytiharan berkanun, yang mendakwa, antara lain, Anwar mempunyai 20 akaun induk.

"Saya berpendapat beliau patut saman Abdul Murad. Beliau juga patut saman Ummi Hafilda Ali, kumpulan Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (Tibai) dan mursyidul amnya Zahid Md Arip.

"Beliau patut saman mereka kerana dengan cara itu, beliau boleh menutup mulut mereka, seperti beliau menutup mulut saya selama lima tahun (merujuk kepada satu saman fitnah RM100 juta yang difailkan Anwar terhadapnya)," kata Dr Mahathir.

Media melaporkan Anwar didakwa mengawal 20 akaun induk yang diurus kroninya, termasuk aset, saham dan wang berjumlah lebih RM3 bilion. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan