Agong Kurnia Darjah Kepahlawanan Kepada 205 Pegawai Dan Anggota PDRM

Diterbitkan: Khamis, 21 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan mengurniakan Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis kepada 205 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena sambutan Hari Polis ke-125, Khamis.

Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah turut berangkat di majlis yang berlangsung di Istana Negara di sini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Salleh Mat Rasid dan Pengarah Jabatan Logistik PDRM Datuk Zulkifli Abdullah mendahului senarai penerima apabila dianugerah Darjah Panglima Gagah Pasukan Polis (PGPP).

Dua puluh empat orang menerima Darjah Panglima Setia Pasukan Polis (PSPP) termasuk Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Tajudin Md Isa, Timbalan Ketua Jabatan Pasukan Petugas Khas (Pasukan Gerakan Khas) Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Polis Perlis SAC Zull Aznam Haron.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan-timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Abu Seman Yusop dan Datuk Lee Chee Leong serta Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Tuanku Abdul Halim turut menyampaikan Darjah Pahlawan Pasukan Polis kepada 39 penerima, Kesatria Pasukan Polis (9 penerima) dan Bentara Pasukan Polis (131 penerima).

Istiadat penganugerahan itu merupakan sesi kedua selepas istiadat serupa yang berlangsung Selasa lepas dengan 126 penerima pingat.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan