Usahawan Yang Menerima Dana Akan Dipantau - Mukhriz - Berita Semasa | mStar

Usahawan Yang Menerima Dana Akan Dipantau - Mukhriz

Diterbitkan: Selasa, 19 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MERBOK: Semua usahawan yang menerima dana dari institusi kewangan akan dipantau bagi memastikan perniagaan yang mereka ceburi berjaya dan tidak terhenti separuh jalan, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Mahathir.

Katanya semua usahawan itu perlu melalui proses penilaian sebelum diberi dana bagi memastikan kebarangkalian kejayaan usahawan itu adalah tinggi.

"Kita tidak mahu sewenang-wenangnya mengeluarkan dana (yang merupakan) duit rakyat kepada mana-mana pihak yang sebenarnya tidak bersungguh-sungguh atau pun mempunyai niat lain selain dari yang diharapkan. Jadi atas sebab itu kita mengharapkan mereka (usahawan) yang memperoleh dana dari institusi kewangan berjaya dalam bidang perniagaan masing-masing."

"Kita bukan hanya beri duit dan biarkan saja tapi kita susuli dengan bermacam-macam lagi program lain. Kita menilai di mana letaknya kelemahan-kelemahan mereka."

"Kalau kelemahan dari segi pemasaran, jadi itulah yang kita akan bantu," katanya pada sidang media selepas majlis Perasmian Himpunan Usahawan Mikro, Kecil dan Sederhana "Jom Niaga" Peringkat Negeri Kedah di UiTM Kedah di sini Khamis.

Beliau berkata pihaknya akan membantu dari semua aspek termasuk penjenamaan, pembungkusan dan akses kepada pemasaran.

"Kerap kali kita lihat usahawan mikro, kecil dan sederhana terlalu tertumpu kepada pengeluaran. Kalau mereka buat produk, mereka perlu tahu bahawa usaha untuk mempromosi dan memasarkan produk adalah sama penting dengan pengeluaran," katanya.

Setakat ini, katanya ramai usahawan belajar daripada pengalaman usahawan yang lebih berjaya dari mereka dan mereka juga sedar bahawa usaha itu tidak akan mendatangkan kejayaan jika setakat mengeluarkan produk, kemudian tunggu pelanggan datang membeli.

Mukhriz berkata antara faktor penting kejayaan usahawan selain dari usaha mereka sendiri ialah persekitaran yang kondusif di mana ia akan dapat mewujudkan banyak peluang pekerjaan dan peluang perniagaan.

Aktiviti-aktiviti itu sebenarnya merancakkan lagi ekonomi tempatan dan apabila ekonomi tumbuh pesat, maka lebih banyak peluang untuk masyarakat tempatan berniaga sebagai usahawan," katanya.

Beliau berkata lebih 300 usahawan mikro, kecil dan sederhana sekitar Kedah menyertai program dua hari bermula hari ini anjuran Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corporation Malaysia) itu.

"Mereka terlibat dalam pelbagai sektor, yang bukan hanya sektor makanan, tetapi juga sektor pembuatan," katanya sambil menyatakan program itu juga bertujuan menonjolkan kepada masyarakat jenis produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh usahawan di Kedah.

Sementara itu, Pengerusi SME Corp Datuk Ir (Dr) Mohamed Al Amin Abdul Majid berkata tidak kurang 10,000 pengunjung datang ke program tersebut pada hari ini dan jumlah itu menunjukkan penganjuran program ini dilihat berjaya.

Antara aktiviti yang turut diadakan sepanjang program itu berlangsung ialah perbincangan bersama usahawan berjaya, pertandingan mewarna kanak-kanak, demostrasi tempur senjata ATM, dan konsert mesra. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan