Alam Flora Sdn Bhd Dikenakan Lebih RM1.7 Juta Penalti - Chor - Berita Semasa | mStar

Alam Flora Sdn Bhd Dikenakan Lebih RM1.7 Juta Penalti - Chor

Diterbitkan: Isnin, 18 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Syarikat Alam Flora Sdn Bhd dikenakan penalti lebih RM1.7 juta bagi tempoh September lepas hingga April tahun ini kerana gagal menjalankan tugas berdasarkan ketetapan yang dipersetujui bersama dalam Perjanjian Konsesi.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung berkata tindakan mengenakan penalti itu membuktikan kementerian memandang serius kualiti kerja yang dijalankan syarikat berkenaan dalam menyelenggara kebersihan serta memungut sampah.

"Syarikat itu perlu mematuhi jadual serta frekuensi pemungutan yang ditetapkan dan jika gagal, syarikat boleh dikenakan denda serta penalti seperti mana yang ditetapkan," katanya menjawab soalan Datuk Seri Zulhasnan Rafique (BN-Setiawangsa) pada persidangan Dewan Rakyat, Isnin.

Zulhasnan memohon penjelasan Chor mengenai isu kawal selia Alam Flora Sdn Bhd yang sering dipertikai dan ingin tahu apakah tindakan yang dikenakan supaya perkhidmatan syarikat itu diperbaiki dan dipertingkat pada masa hadapan.

Chor berkata kementerian melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) membuat pemantauan untuk kerja-kerja yang dilaksana syarikat konsesi yang dilantik.

"Seramai 1,650 pegawai penguatkuasa seluruh Semenanjung membuat rondaan setiap hari di setiap kawasan di bawah selenggaraan syarikat konsesi namun kadang-kala terlepas pandang tetapi kita akan berusaha untuk memperbaiki kelemahan itu," katanya.

Bagi penambahbaikan perkhidmatan di kawasan perumahan pangsapuri pula, Chor berkata PPSPPA mengedarkan jadual kutipan serta bekerjasama dengan persatuan penduduk.

"Perbadanan akan menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan persatuan penduduk di Kuala Lumpur seperti mana yang dilaksana di Johor bagi memastikan kedua-dua pihak memberi komitmen masing-masing," katanya.

Chor menjelaskan bagi negeri Selangor, perkhidmatan pengurusan sisa pepejal serta pembersihan awam hanya akan dapat ditingkat jika negeri itu bersetuju menerima Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 dan penswastaan penuh perkhidmatan berkenaan.

Berkuatkuasa 1 September ini, beliau berkata kementerian akan mengambil tindakan tegas terhadap syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal berdaftar yang tidak menunjukkan prestasi perkhidmatan.

"Adalah menjadi tanggungjawab syarikat konsesi untuk memastikan perkhidmatan pemungutan sisa pepejal dan pengurusan pembersihan awam dilaksanakan menepati KPI (Petunjuk Prestasi Utama) yang dipersetujui dalam Perjanjian Konsesi serta menepati tahap yang sepatutnya," katanya. - BERNAMA

   

iklan

Video

Selasa, 17 Julai 2018 6:18 PM

'Penyamun terbang' maut dalam kereta curi

Khamis, 12 Julai 2018 1:05 PM

Lempang pelajar ikut suka hati

Selasa, 10 Julai 2018 6:39 PM

Nak 'gugur jantung' tengok pakcik ini memandu

Selasa, 10 Julai 2018 3:06 PM

Pengasuh pijak, hempas anak jagaan

Isnin, 9 Julai 2018 5:30 PM

Ragam si meow & bola!

Jumaat, 6 Julai 2018 5:39 PM

Tak sanggup tengok mayat mangsa kemalangan

Jumaat, 6 Julai 2018 12:48 PM

Durian buah untuk orang kaya?

Kolumnis

iklan

Iklan