Nasihat Sultan Ibrahim Kepada Putera & Puteri Baginda

Diterbitkan: Ahad, 17 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Sultan Ibrahim. Foto THE STAR / ABDUL RAHMAN EMBONG
Sultan Ibrahim. Foto THE STAR / ABDUL RAHMAN EMBONG

JOHOR BARU: Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar telah menasihati putera-putera dan puteri baginda supaya jangan terlibat dalam sebarang kejadian yang boleh memalukan keluarga diraja Johor.

Sehubungan dengan itu, Sultan Ibrahim telah menasihati putera-putera dan puteri baginda agar sembah dan mendapatkan kebenaran daripada Tuanku Sultan sebelum keluar dari negeri Johor.

“Saya telah menasihati anak-anak saya supaya mendapatkan kebenaran sebelum ke Kuala Lumpur atau pun Singapura kerana mereka boleh sentiasa sahaja terdedah kepada provokasi atau mungkin ada yang cuba mencari masalah dengan melakukan provokasi,” titah baginda dalam temuramah eksklusif dengan mStar Online dan The Star di Istana Pasir Pelangi di sini baru-baru ini.

Titah baginda lagi, sekiranya mereka berada di dalam situasi yang boleh mendatangkan masalah, nasihat baginda ialah, segera meninggalkan tempat tersebut.

Sepanjang temuramah itu, baginda Sultan menegaskan adalah tidak adil untuk pihak lain mengaitkan sesiapa sahaja dengan gelaran “Tengku” atau “Tunku” yang terlibat dalam pergaduhan atau sesuatu yang tidak elok dengan keluarga diraja Johor.

“Adakah kami pencetus masalah? Kami bukan pencetus masalah. Saya sentiasa mengingatkan anak-anak saya supaya menghormati orang lain. Jangan terlibat dalam perkara-perkara yang boleh memalukan keluarga diraja Johor. Orang mahu melihat kamu melakukan kesilapan. Jadi hindar dari segala provokasi dan masalah.

“Tetapi itu pun saya sentiasa ingatkan pengawal keselamatan supaya jangan berkasar dengan orang awam tetapi mereka juga ada tanggungjawab dan peranan yang perlu dilakukan. Orang mungkin salah faham dan berasa iri hati. Sebab itulah saya sentiasa ingatkan anak-anak saya supaya jangan terlibat dalam sebarang situasi yang boleh mencetuskan masalah,” jelas baginda.

INSTITUSI RAJA-RAJA

Kepada satu soalan, Sultan Ibrahim menjelaskan, sama ada institusi raja-raja masih lagi relevan dengan era milenium ini perlulah dilihat dari konteks sesebuah masyarakat, negara, adat, budaya dan sejarah.

“Malaysia ada sejarah dan budayanya sendiri dan Kesultanan Johor telah sedia wujud sejak tahun 1885 lagi. Di dunia lain mungkin ada Raja yang disingkir...jadi kita perlu tanya kenapa Raja-Raja disingkirkan. Di negara kita, Raja-Raja adalah sebuah institusi yang berkait rapat dengan sejarah, adat dan budaya bangsa itu sendiri.

“Hari ini, Raja-Raja memainkan peranan check and balance di dalam sebuah negara. Sebab itulah Raja-Raja sentiasa berada di atas politik dan tidak mencampuri urusan politik. Jadi nasihat saya ialah, jangan mempolitikkan institusi Raja-Raja kerana itulah yang dipersetujui apabila kita membentuk negara ini.

BLOG

Sultan Ibrahim turut menyatakan pandangannya mengenai tulisan-tulisan yang muncul dalam laman blog dan internet mengenai beberapa isu khususnya yang berkaitan dengan institusi raja-raja.

Titah baginda; “Sejak akhir-akhir ini, saya ada ikuti beberapa tulisan di dalam blog. Ada yang tulis perkara yang bukan-bukan. Tetapi nasihat saya ialah jagalah adab dan bahasa kita. Sesetengahnya menulis menggunakan bahasa yang tidak sesuai langsung untuk dibaca.”

Jelas baginda, ketika berlangsungnya program Kembara Mahkota selama empat hari baru-baru ini, para blogger turut dijemput untuk menyaksikan sendiri bagaimana keluarga diraja Johor berinteraksi dengan masyarakat.

“Mereka boleh saksikan sendiri apa yang saya buat sepanjang empat hari itu. Dan sesuatu yang sangat-sangat menyentuh perasaan saya ialah, jika rakyat boleh menunggu di tepi jalan selama berjam-jam hanya untuk bersalaman dan bercakap dengan saya, maka saya patut tengok dan menjaga hal ehwal rakyat saya. “

BUKAN CARA SAYA

Tetapi nyata Sultan Ibrahim, pada masa yang sama, bukanlah menjadi cara dan gaya baginda untuk memberitahu kepada umum apakah yang telah baginda lakukan untuk membantu masyarakat secara amnya dan juga secara khususnya.

“Bukanlah menjadi style saya untuk mengumumkan setiap satu perkara yang saya lakukan untuk rakyat...tapi mereka yang telah menerima sesuatu daripada saya tahu apa yang telah saya lakukan untuk membantu rakyat negeri saya.

“Namun begitu saya juga sentiasa mengikuti apa yang dilaporkan oleh media kerana bagi saya komen media sangat penting kerana media sentiasa berada bersama rakyat untuk melaporkan keluh kesah mereka...saya perlu maklum balas daripada media untuk memahami dan mengetahui apa lagi yang boleh saya buat untuk rakyat saya.

“Saya tidak pernah umumkan apa yang saya beri kepada rakyat saya tetapi saya perlu tahu apakah reaksi rakyat terhadap saya,” jelas Sultan Ibrahim.

Dalam hubungan ini Sultan Ibrahim menegaskan bahawa baginda mahu putera-putera dan puteri baginda memahami hal ehwal rakyat dan masyarakat.

“Anak-anak saya kena tahu tentang rakyat dan saya mahu mereka bertemu dengan rakyat dan badan-badan bukan kerajaan sekerap yang mungkin...bukan sekadar turun menunaikan solat Jumaat bersama rakyat sahaja.

URUSAN PERNIAGAAN

Sultan Ibrahim juga menjelaskan bahawa segala urusan perniagaan yang diuruskan baginda selama ini akan diserahkan kepada putera-putera dan puteri baginda.

“Saya tidak lagi boleh meneruskannya kerana kedudukan saya sebagai Sultan tetapi saya akan melatih anak-anak saya untuk menguruskan perniagaan mereka sendiri.

“Mereka harus belajar bagaimana hendak menguruskan perniagaan ini. Saya belajar segala-galanya dari bawah. Saya menguruskan perniagaan saya sendiri sejak saya menjadi Tunku Mahkota Johor lagi. Segala urusan di dalam istana, pembayaran gaji kakitangan, staf peribadi Almarhum ayahanda saya semuanya saya yang uruskan.

“Tetapi sekarang sudah tiba masanya untuk saya mengajar anak-anak saya bagaimana hendak mengurus perniagaan mereka.

“Saya mempunyai ladang kelapa sawit seluas 40,000 ekar di negeri Johor. Semuanya saya uruskan sendiri. Dari membeli biji benih sehingga kepada menanam, menuai, membaja, semuanya saya belajar sendiri.

“Saya mahu anak-anak saya juga lakukan perkara yang sama. Saya sedang membina rumah di tengah-tengah ladang saya dan saya mahu mereka duduk di ladang dan belajar dari bawah.

“Saya akan hantar mereka ke Felda untuk mempelajari pengurusan ladang kelapa sawit daripada Felda serta perjalanan perniagaan kelapa sawit,” jelas Sultan Ibrahim lagi.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan