Isu FGVH: Tindakan Anak Heret Institusi Raja Perbuatan Biadap - Ismail Sabri

Diterbitkan: Ahad, 17 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BERA: Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan tindakan Persatuan Anak-Anak Peneroka Kebangsaan (ANAK)yang cuba mengheret istana dalam isu penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) di Bursa Saham, merupakan satu tindakan biadap.

Beliau berkata tindakan Pengerusi Anak Mazlan Aliman, yang mahu membabitkan Yang di-Pertuan Agong supaya campur tangan bagi menghalang penyenaraian itu, adalah satu percubaan mengheret istana dalam kancah politik pihak pembangkang.

"ANAK tidak jujur dalam perjuangannya, Mazlan merupakan ahli parti pembangkang, dan cubaan itu amat tidak menghormati Perlembagaan Negara apabila cuba melibatkan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah bagi menghalang penyenaraian FGVH di Bursa Saham," katanya.

Ismail Sabri berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Bersama Rakyat di Kampung Batu Papan pada Sabtu.

ANAK dilapor ingin mengadakan perhimpunan besar-besaran minggu depan dan seterusnya berarak ke Istana Negara untuk menyerah memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong. Ismail Sabri, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, bagaimanapun yakin peneroka akan bertindak bijak dengan tidak menyertai perhimpunan itu.

"ANAK hanya memperalat segelintir peneroka untuk kepentingan politik mereka dan bukan memikirkan masa depan peneroka Felda itu sendiri. "Mereka membuat pelbagai tindakan untuk menghalang penyenaraian FGVH tetapi pada masa yang sama, mereka turut mengambil durian runtuh yang diagihkan baru-baru ini," katanya.

Beliau juga berkata sekalipun terdapat segelintir peneroka yang tidak yakin dengan langkah menyenaraikan FGVH di Bursa Saham, mereka sepatutnya tidak mengetepikan suara majoriti peneroka yang mahukan penyenaraian itu. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan