Universiti Terbuka Wawasan Mahu Tempoh Pengajian Program Ijazah Dipendekkan

Diterbitkan: Sabtu, 16 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Universiti Terbuka Wawasan (WOU) telah membuat rayuan kepada Kementerian Pengajian Tinggi supaya tempoh pengajian program ijazah yang ditawarkan oleh universiti itu dipendekkan setahun kepada empat tahun.

Canselornya Tun Dr Lim Keng Yaik berkata syarat tempoh pengajian lima tahun itu yang dikenakan oleh kementerian itu adalah terlalu lama dan akan mematahkan semangat pelajar yang berhasrat melanjutkan pengajian mereka.

"Perkara itu sering dibangkitkan apabila kami mengadakan mesyuarat dengan kementerian namum tiada jawapan diberikan," katanya kepada pemberita selepas menganugerahkan ijazah kehormat kepada tiga individu pada majlis konvokesyen khas WOU di sini, Sabtu.

Dr Lim juga turut berkata golongan dewasa yang berkerja tidak boleh terlalu leka tetapi perlu berusaha dan terus memperbaiki diri mereka untuk mencapai sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020. Katanya budaya di kalangan orang dewasa yang bekerja mahupun graduan untuk melanjutkan pengajian adalah pada tahap sangat rendah berbanding di negara maju. "Mereka yang tidak mempunyai ijazah perlu mendapatkannya...mereka yang mempunyai ijazah perlu mendapatkan ijazah lanjutan untuk memperbaiki diri mereka.

Ini adalah satu-satunya cara untuk menjadi negara berpendapatan tinggi. Anda tidak boleh mengharapkan pendapatan tinggi apabila anda tidak berkelayakan," katanya.

Dr Lim berkata terdapat lebih 10 juta pekerja di negara ini tetapi kurang daripada 20 peratus daripada mereka mempunyai ijazah manakala peratusan besar adalah lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Kini mereka mempunyai peluang untuk mendapatkan ijazah menerusi pengajian di universiti terbuka," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan