Tuntutan Pengguna Bukan Soal Bayaran Tetapi Kepentingan Hak - Ismail Sabri

Diterbitkan: Jumaat, 15 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tuntutan melibatkan isu kepenggunaan bukan soal berapa jumlah bayaran yang dibayar kepada pengguna tetapi kepentingan hak golongan itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setiap pengguna mempunyai hak dan perlu mengetahui kuasa serta tanggungjawab mereka.

"Kalau kita mengambil sikap 'tidak apa' atau 'rugi pun tak banyak', maka sampai bila-bila pun kita akan ditipu.

"Sebagai pengguna, kita perlu mengambil tindakan (menuntut hak) dan tidak melihatnya sebagai remeh apabila hak kita dirampas oleh pihak-pihak tertentu," katanya kepada media selepas melancarkan kod etika dan tatacara jualan langsung di sini, Khamis.

Ismail Sabri mengulas mengenai Setiausaha Sulit beliau, ZoolIhsan Ahmad pada Rabu berjaya mendapat semula bayaran tiket penerbangan ke Medan, Indonesia bernilai RM646 sehala daripada syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia menerusi Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

Tuntutan bayaran itu berikutan penerbangan berkenaan ditunda pada 20 Mei sehingga ZoolIhsan tidak dapat menjalankan tugas rasmi di Medan.

Ismail Sabri berkata, beliau berharap kes tersebut membuka mata pengguna mengenai kepentingan hak mereka.

"Bukan sahaja kepada AirAsia tetapi mana-mana syarikat apabila kita rasa ditipu atau tidak berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan, maka kita sebagai pengguna perlu mengambil tindakan," katanya.

Menurut Ismail Sabri, kes tersebut diharapkan dapat memberi pengajaran kepada semua terutama syarikat-syarikat besar agar perlu menghormati hak-hak pengguna.

"Kerajaan juga telah menyediakan medium seperti Tribunal Tuntutan Pengguna untuk membela pengguna.

"Mungkin ramai yang tidak tahu bayaran untuk membawa kes (tuntutan) dari mula sehingga selesai adalah RM5 sahaja bagi melindungi kepentingan sebagai pengguna," katanya.

Beliau menambah, ia juga dapat memberi kesedaran kepada syarikat besar supaya tidak mengenakan klausa penafian (disclaimer clause) seperti tidak bertanggungjawab dan pengguna perlu menanggung risiko sendiri.

"Tetapi mereka sepatutnya bertanggungjawab mengenai apa yang dijanjikan (kepada pengguna).

"Sehubungan itu, Akta Perlindungan Pengguna tahun lepas, telah memasukkan satu klausa iaitu terma kontrak tidak adil, di mana pengguna juga mempunyai hak terhadap terma-terma yang dipersetujui," katanya.

Akta Perlindungan Pengguna (Pindaan) 2010 di bawah bahagian Terma Kontrak Tidak Adil itu dapat melindungi pengguna dengan menghalang pembekal daripada mengenakan terma yang bersifat tidak adil dalam sesebuah kontrak sehingga menyebabkan pengguna menanggung kerugian.

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan