Muhyiddin Minta Rakyat Nilai Hasil Pembangunan Kerajaan

Diterbitkan: Jumaat, 15 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Rakyat hendaklah menilai dengan saksama hasil pembangunan yang telah dilaksana dan dirancang kerajaan Barisan Nasional(BN) berbanding tawaran dan janji yang diberikan parti pembangkang, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata rakyat tidak harus "membuang air di tempayan hanya kerana mendengar bunyi guruh di langit".

Katanya pihak pembangkang hanya pandai membuat tawaran dan janji-janji tidak realistik kepada rakyat, tanpa mengambil kira kedudukan masa depan negara semata-mata mahu mengambil alih kepimpinan negara.

"Mereka hanya suka membuat janji-janji yang tidak munasabah, yang tidak berdasarkan kebijaksanaan dalam mengurus negara kerana sengaja hendak berkuasa.

"Dasar kita harus realistik bukan hanya bertujuan meraih undi," katanya pada pertemuan bersama badan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Bandar Tun Razak di sini.

Muhyiddin berkata berbanding pembangkang, kerajaan BN adalah sebuah kerajaan yang menpunyai visi realistik untuk membantu mewujudkan masa depan rakyat dan negara yang lebih baik.

Membidas cadangan pembangkang untuk memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) jika berjaya berkuasa kelak, Timbalan Perdana Menteri berkata cadangan itu tidak realistik selain tidak mengambil kira perancangan masa depan.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata pembangkang membuat cadangan populis sedemikian semata-mata kerana agenda politik untuk mengambil alih Putrajaya.

"Kita memerlukan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan yang pro-rakyat, yang dapat melihat bagaimana hendak mengurangkan dan menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat," kata beliau.

Sementara itu, pada majlis "Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri" di Pekan Sungai Besi di sini, Timbalan Perdana Menteri mengajak rakyat berganding bahu dengan kerajaan BN untuk mencapai sasaran menjadikan Malaysia negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Beliau berkata walaupun kerajaan telah merangka dan melaksanakan pelbagai strategi terperinci untuk mencapai matlamat itu, ia hanya akan dicapai jika semua lapisan masyarakat terlibat sama dalam menjayakannya.

"Hanya lapan tahun lagi, negara kita akan menjadi negara maju berpendapatan tinggi. Berdasarkan perkembangan yang dicapai, saya yakin sasaran kita ini akan tercapai," katanya.

Muhyiddin berkata BN merupakan satu kerajaan yang serius berusaha membela nasib rakyat, seperti yang diterjemahkan dalam pelbagai usaha kerajaan untuk memperbaiki taraf hidup rakyat.

"Kalau ada apa-apa kekurangan daripada segi dasar dan sebagainya, kita akan berusaha untuk memperbaiki. Kita bukan malaikat, tetapi kita mempunyai keazaman dan iltizam," katanya.

Mengulangi lagi ingatannya agar rakyat tidak terpedaya dengan janji-janji yang ditawarkan pembangkang, Timbalan Presiden Umno itu menyamakan pelbagai 'tawaran hebat' dan janji pembangkang ketika menjelang pilihan raya umum seperti musim jualan murah.

"Mereka suka membuat pelbagai tawaran hebat, seperti semasa jualan murah. Tetapi ia hanya sekali, kerana mahu menarik pelanggan," katanya.

Menyentuh mengenai pembangunan di Kuala Lumpur, Muhyiddin berkata beliau tidak mahu melihat bandar raya itu berkembang daripada segi fizikal sahaja, sebaliknya kesejahteraan dan kebajikan penduduknya juga harus maju seiring.

Katanya Kuala Lumpur sebagai ibu negara Malaysia merupakan cermin dunia luar kepada apa yang ada di negara ini.

Justeru, kata beliau, kerajaan akan terus menggiatkan usaha untuk membolehkan rakyat meningkatkan taraf pendapatan penduduk di bandar termasuk mengadakan indeks untuk mengukur tahap keselesaan dan kesejahteraan warga ibu kota.

"Yang penting sekali, kita mahu supaya pembangunan di Kuala Lumpur selain menjana nilai untuk negara, kita juga mahu penduduk di Kuala Lumpur dapat hidup dengan baik dan sejahtera," katanya.

Muhyiddin berkata bagi menampung kos sara hidup yang meningkat, rakyat perlu meningkatkan keupayaan diri dengan mempelajari kemahiran dan mendapatkan latihan tertentu untuk menjana pendapatan tambahan.

"Sebab tak boleh diharap pada sesuatu (kemajuan) berlaku tanpa usaha daripada rakyat kerana kita (kerajaan) boleh aturkan segalanya tapi kalau tiada penyertaan rakyat, tak mungkin berlaku perubahan," katanya.- BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan