Muhyiddin Lawat P.Pinang Esok

Diterbitkan: Jumaat, 15 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan melakukan lawatan kerja sehari ke Pulau Pinang esok.

Menurut kenyataan Pejabat Pembangunan Persekutuan Pulau Pinang hari ini, Muhyiddin dijadual menghadiri perjumpaan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili orang Melayu di negeri ini di Universiti Sains Malaysia (USM), sejurus tiba di negeri ini pada 9 pagi.

Beliau kemudiannya dijadual menghadiri majlis perjumpaan bersama pekerja-pekerja industri di kilang Western Digital Media (M) Sdn Bhd dan menyaksikan pemeteraian memorandum perjanjian (MoA) antara Lembaga Pelaksana Koridor Utara (NCIA), kilang Advanced Micro Devices Export Sdn Bhd dan Fabtronic Sdn Bhd.

MoA itu bertujuan memperkenalkan Skim Peningkatan Teknikal Perindustrian Koridor Utara ("NCITES") untuk golongan siswazah menganggur mendapatkan pekerjaan tetap melalui peruntukan latihan kemahiran dan pendedahan perindustrian dalam bidang pengkhususan terpilih.

Pada majlis itu, lebih 5,000 warga industri akan berhimpun untuk mendengar ucapan Timbalan Perdana Menteri yang dijangka menyentuh mengenai usaha kerajaan pusat melaksanakan pelbagai projek pembangunan, kemudahan perdagangan dan insentif bagi meningkatkan lagi taraf ekonomi dan pembangunan sosial di Pulau Pinang.

Timbalan Perdana Menteri akan diiringi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam.

Pada sebelah petang, Muhyiddin dijadual melawat projek Jambatan Kedua Pulau Pinang dan mendengar taklimat oleh Pengerusi Jambatan Kedua Sdn Bhd Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob di tapak projek itu di Batu Maung.

Beliau akan mengakhiri lawatan kerja dengan meluangkan masa hampir dua jam untuk bertemu lebih 20,000 orang pada majlis perhimpunan Semarak Kasih Rakyat di Jalan Raja Uda di Butterworth sebelum berlepas pulang ke ibu negara. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan