Empat Terma Tambah Baik Perkhidmatan Awam Diumum

Diterbitkan: Jumaat, 15 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam pada Jumaat mengumumkan empat terma rujukan bagi menambah baik kualiti perkhidmatan awam melalui penyampaian berkesan kepada rakyat.

Menurut kenyataan sekretariat suruhanjaya berkenaan, terma rujukan itu termasuk merasionalisasi perkhidmatan awam bagi meningkatkan keberkesanan dan kecekapan penyampaian perkhidmatan, serta memastikan transformasi kepimpinan perkhidmatan awam yang berupaya menyeimbangkan kepentingan politik dan pentadbiran.

Selain itu, ia juga untuk memperkasa modal insan perkhidmatan awam bagi menyampaikan perkhidmatan yang responsif kepada kehendak pelanggan.

Terma keempat adalah untuk mengutamakan kebajikan penjawat awam dengan memastikan perkhidmatan awam yang lebih fleksibel dan adil.

Suruhanjaya khas yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi itu telah bermesyuarat dua kali iaitu pada 7 Jun dan Rabu lepas dengan kesemua enam anggota suruhanjaya menghadirinya.

Suruhanjaya itu turut mempelawa orang ramai mengemukakan cadangan dan pandangan ke arah penambahbaikan perkhidmatan awam negara melalui laman web http://docs.jpa.gov.my/skmtpa. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan