Polis Perkenal Sistem Web Menjelang Ogos Ini

Diterbitkan: Khamis, 14 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Polis telah bersedia untuk memperkenalkan satu sistem berasaskan web bagi membolehkan orang awam memantau laporan yang dibuat dengan pasukan keselamatan itu menjelang akhir Ogos ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Datuk Seri Idris Jala berkata sistem itu, yang bertujuan meningkatkan perkhidmatan awam, akan memaparkan butiran perkembangan siasatan polis.

Idris, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata sistem itu mudah bagi orang ramai kerana ia boleh diakses daripada rumah.

"Semua menerusi internet...anda tidak perlu menghubungi balai polis kerana semua maklumat akan dimuat naik ke dalam sistem itu," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat oleh polis Selangor mengenai pelaksanaan sistem penarafan kajian pelanggan (CSR) di ibu pejabat polis daerah Subang Jaya, Khamis.

Katanya orang awam boleh mengakses kes masing-masing secara atas talian dengan mengemukakan nombor siri laporan polis yang dibuat oleh mereka.

Mengenai CSR, Idris berkata sejumlah 82 buah balai polis di Selangor telah melaksanakan sistem tersebut yang membolehkan polis menilai kepuasan orang awam terhadap perkhidmatan yang disediakan.

"Kami menggalakkan orang awam menggunakan sistem itu supaya anggota polis lebih bermotivasi untuk berusaha menyediakan perkhidmatan lebih baik apabila orang awam membuat sesuatu laporan," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan