Pekerja Asing Tidak Dilindungi Di Bawah Perkeso

Diterbitkan: Khamis, 14 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pekerja asing tidak tertakluk kepada perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kerana mereka dilindungi di bawah Akta Pampasan Pekerja 1953, persidangan Dewan Rakyat diberitahu, Khamis.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan berkata para pekerja asing di negara ini boleh membuat caruman sebanyak RM72 setahun di mana-mana 28 syarikat insurans yang dilantik oleh kementerian.

"Caruman ini meliputi kemalangan maut, hilang upaya dan hilang upaya kekal," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Saifudin Nasution Ismail (PKR-Machang) pada sesi soal jawab di Parlimen di sini.

Maznah berkata kerajaan amat mengambil berat keselamatan pekerja asing di negara ini dan akan mengambil tindakan ke atas majikan yang gagal melaporkan kemalangan atau gagal mempraktikkan amalan keselamatan kesihatan dan kebajikan pekerja mereka.

Katanya piawaian antarabangsa Malaysia adalah sama dengan piawaian di peringkat antarabangsa malah akta dan peraturan mengenai keselamatan pekerjaan negara juga diiktiraf oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa.

Maznah juga berkata statistik kemalangan melibatkan pekerja asing pada tahun lepas menurun kepada 5,027 berbanding 5,867 pada 2010.

"Kes maut pula adalah 254 pada 2012 dan 233 kes pada 2011 iaitu penurunan sebanyak lapan peratus. Kita percaya pengurangan ini disebabkan keberkesanan penguatkuasaan dan peningkatan promosi keselamatan kesihatan di tempat kerja," katanya.

Terdahulu, Maznah berkata kementerian melalui Jabatan Tenaga Kerja (JTK) akan mengambil tindakan undang-undang melalui Akta Kerja 1955 kepada majikan yang memotong gaji pekerja akibat kesilapan pihak ketiga.

Katanya jika JTK mendapati aduan pekerja berasas, pihak majikan boleh diarah untuk membayar semula kepada pengadu.

"Jika majikan berlengah boleh dikenakan kompaun tak lebih RM5,000. Kalau majikan enggan boleh didakwa di bawah akta sama dengan denda tidak lebih RM10,000," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan