Azmi Nafi Dakwaan PAC Cuba Tutup Kes Penting

Diterbitkan: Khamis, 14 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Seri Azmi Khalid menafikan dakwaan bahawa jawatankuasa itu sengaja tidak mengadakan mesyuarat kerana cuba menutup beberapa isu penting yang melibatkan kepentingan negara.

Azmi berkata pada persidangan Dewan Rakyat April lepas, beliau telah memaklumkan kepada kesemua anggota PAC untuk mengadakan mesyuarat namun tiada maklum balas yang diterima.

"Apabila kita panggil untuk adakan mesyuarat, mereka (anggota PAC) termasuk wakil daripada pembangkang tidak hadir jadi tidak dapatlah diadakan mesyuarat," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi PAC, Dr Tan Seng Giaw dan beberapa Anggota Parlimen pembangkang berhubung kegagalan PAC mengadakan mesyuarat sejak tiga bulan lepas bagi membincangkan kes berkaitan.

Empat kes itu ialah perbelanjaan Pusat Fidlot Nasional (NFC), kos pembinaan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) baharu atau KLIA 2, pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kes pelupusan hutang bekas Pengerusi Malaysia Airlines (MAS) Tan Sri Tajudin Ramli.

Azmi berkata beliau telah mengarahkan sekretariat PAC memanggil kesemua anggota PAC untuk mengadakan mesyuarat pada minggu hadapan bagi membincangkan isu tersebut. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan