Dakwat Kekal PRU-13 Dikekalkan

Diterbitkan: Rabu, 13 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penggunaan dakwat kekal akan digunapakai pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang walaupun kerajaan menarik balik Rang Undang-undang Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) Mei lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata penggunaan dakwat kekal adalah terpakai bagi semua kategori pengundi kecuali proses pengundian pos.

"Dakwat kekal akan digunakan kepada pengundi yang akan mengundi pada hari diadakan pengundian awal dan hari pengundian biasa kecuali pengundi yang akan mengundi secara pos berdasarkan kepada peruntukan Peraturan 3, Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 203," katanya menerusi jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Selain itu menurut Mohamed Nazri, penggunaan dakwat kekal ini selaras dengan penguatkuasaan Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) (Pindaan) 2012 yang diwartakan pada 13 Februari 2012 dan mula berkuatkuasa pada 15 Februari 2012.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Sim Tong Him (DAP-Kota Melaka) yang ingin mengetahui status penggunaan dakwat kekal selepas Rang Undang-undang Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) ditarik balik.

Dalam pada itu Mohamed Nazri memberitahu bahawa kerajaan belum bercadang untuk membentangkan rang undang-undang baru bagi meminda Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 sehingga PRU-13.

Malah Majlis Fatwa Kebangsaan pada Januari lalu telah memutuskan bahawa penggunaan dakwat kekal oleh SPR sebagai harus dan kandungan sampel dakwat yang dikemukakan agensi itu tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Bagaimanapun warna dakwat kekal yang bakal digunakan masih rahsia dan hanya diketahui sehari sebelum pengundian bagi memastikan ketelusan pilihan raya berkenaan.

Penggunaan dakwat kekal merupakan salah satu daripada tujuh syor Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi penambahbaikan sistem pilihan raya selain pengundian awal bagi anggota tentera dan polis, pembersihan daftar pemilih, memansuhkan proses bantahan terhadap kertas pencalonan pada hari penamaan calon dan memberi kemudahan kepada rakyat Malaysia di luar negara yang berdaftar sebagai pemilih untuk mengundi secara pos.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan