Bangsa, Keturunan Bukan Kriteria Kenaikan Pangkat Hakim - Berita Semasa | mStar

Bangsa, Keturunan Bukan Kriteria Kenaikan Pangkat Hakim

Diterbitkan: Rabu, 13 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemilihan hakim bagi kenaikan pangkat dibuat berdasarkan kepelbagaian kepakaran dan pengetahuan undang-undang dalam bidang kehakiman tanpa mengira bangsa dan keturunan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata pemilihan dibuat berdasarkan kriteria pemilihan yang digunakan oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.

"Sebagaimana yang dinyatakan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta 695) kriteria itu mengambil kira integriti, kecekapan dan pengalaman, objektif, tidak berat sebelah, adil dan peribadi moral yang baik.

"Selain itu, ketegasan, kebolehan membuat penghakiman tepat pada masanya dan kemahiran yang baik dalam penulisan undang-undang, kerajinan dan kebolehan untuk mengurus kes dengan baik dan kesihatan mental serta fizikal," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) di Parlimen pada Rabu.

Karpal ingin tahu mengapa tidak ada hakim yang berketurunan India di Mahkamah Persekutuan walaupun terdapat hakim tersebut di Mahkamah Rayuan yang layak untuk memegang pangkat sebagai hakim di Mahkamah Persekutuan.

Nazri berkata bagi tujuan ketelusan, pemilihan hakim untuk kenaikan pangkat adalah dibuat secara undi sulit oleh suruhanjaya itu dan mereka yang dipilih adalah berdasarkan keputusan majoriti. BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan