Syarikat Korea Selatan Digalak Teroka Lebih Banyak Peluang Perniagaan Di Malaysia

Diterbitkan: Selasa, 12 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEOUL: Syarikat-syarikat Korea Selatan digalakkan meneroka lebih banyak peluang perniagaan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di Malaysia, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Selasa.

Beliau berkata ini kerana Malaysia mempromosikan produk dan teknologi baru dalam bidang itu terutama yang melibatkan penggunaan teknolgi tanpa wayar.

"Satu lagi prospek penting pertumbuhan ialah dalam tenaga boleh baharu. Ia merupakan industri baru dan baru muncul yang memerlukan infrastruktur moden dan kemudahan sokongan, yang terdapat di Malaysia.

"Pengeluar global dalam industri telah mewujudkan kemudahan pengeluaran di Malaysia bagi mengeluarkan komponen seperti sel solar dan modul.

"Kami mempelawa syarikat-syarikat Korea supaya meneroka potensi dalam bidang baru ini," kata beliau semasa mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua industri Korea Selatan di sini.

Muhyiddin berkata, Malaysia juga memberi tumpuan kepada industri berintensif modal dan tambah nilai yang turut memberikan ruang kepada syarikat dari negara itu melabur.

"Memandangkan kekuatan Korea dalam bidang ini, terutamanya dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan, terdapat potensi yang baik untuk kerjasama dalam bidang elektronik, ICT, bioteknologi, produk berasaskan pertanian, farmaseutikal, tenaga bolah baharu serta dalam pembangunan jentera dam peralatan kejuruteraan," katanya.

Sehingga kini, beliau berkata, sebanyak 300 syarikat Korea Selatan telah melabur di Malaysia terutama dalam bidang pembuatan dengan nilai pelaburan USD1.6 bilion.

Beliau berkata Malaysia akan terus menjadi negara berkepentingan utama untuk Korea Selatan dalam bidang elektrik dan elektronik.

Muhyiddin berkata jika negara itu yang merupakan hub utama dunia dalam bidang itu, Malaysia pula telah diiktiraf sebagai pusat pengeluaran utama komponen elektronik dan peralatan.

Selain bidang berkenaan, sektor perkhidmatan juga merupakan komponen utama dalam ekonomi negara yang menyumbang 58 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2011 dengan menyumbang 57 peratus peluang pekerjaan di Malaysia.

Beliau berkata antara langkah kerajaan untuk memajukan sektor berkenaan ialah dengan meliberalisasikan 44 subsektor dan antaranya perkhidmatan telekomunikasi dan pendidikan.

Muyhiddin berkata Korea Selatan adalah negara dagangan kelapan terbesar Malaysia serta pelabur utama Malaysia dan menjadi merupakan tunggak utama kepada hubungan dua hala negara itu.

Pada 2011 jumlah perdagangan dua hala Malaysia dengan Korea Selatan berada pada paras US$16 bilion yang menyumbang kepada 3.8 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia.

Terdahulu, Muhyiddin turut melakukan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri Korea Selatan Kim Hwang-sik di pejabatnya di Kompleks Kerajaan Jongrohu, di sini.

Pertemuan hampir 40 minit antara lain membincangkan tentang hubungan diplomatik dua hala dan hubungan dagangan antara Malaysia dan Korea Selatan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan