Nama Pembida Baru WWW 15 Diumum Dalam Waktu Terdekat

Diterbitkan: Selasa, 12 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Nama pembida baru bagi nombor pendaftaran WWW 15 yang mencetuskan kontroversi sebelum ini akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Menurut sumber, individu tersebut merupakan pembida yang membuat bidaan kedua tertinggi bagi nombor pendaftaran kenderaan itu.

"Nama pembida baru ini akan dipaparkan dalam laman web Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam waktu terdekat.

"Perkara itu akan diputuskan oleh Menteri Pengangkutan dan JPJ," kata sumber berkenaan kepada mStar Online pada Selasa.

Semalam (Isnin), Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan bahawa beliau telah membuat keputusan untuk menolak tawaran nombor pendaftaran tersebut yang diberikan kepadanya secara percuma oleh JPJ.

Liow berkata, nombor tersebut sewajarnya diberikan kepada pembida tertinggi memandangkan beliau tidak pernah membida untuk nombor pendaftaran itu.

"Sekali lagi saya ingin menekankan bahawa saya tidak pernah membida untuk nombor pendaftaran WWW 15.

"Setelah mendapat maklumat bahawa nombor pendaftaran tersebut telah dibuka untuk bidaan, adalah wajar untuk saya tidak menggunakan kelayakan saya memperolehinya secara percuma," katanya.

Liow sebelum ini dikritik selepas beliau diumumkan sebagai pembida nombor pendaftaran kenderaan tersebut dengan tawaran bidaan RM24,200 seperti yang dipaparkan di laman web JPJ bulan lalu.

Beliau berkata, pegawai kementerian telah mematuhi prosedur yang ditetapkan dengan memohon nombor pendaftaran tersebut untuk kegunaan kenderaan rasmi menteri.

Malah, katanya, beliau turut menerima surat rasmi daripada JPJ pada 6 Jun yang lalu mengesahkan kelayakan pemberian nombor pendaftaran itu secara percuma atas kapasitinya sebagai menteri.

Terdahulu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan berkata, Liow berhak untuk mendapatkan nombor plat itu secara percuma.

Solah juga kemudiannya menawarkan Liow tiga pilihan iaitu beliau boleh mendapatkan nombor pendaftaran itu percuma, membayar jumlah asal bidaan yang dibuatnya atau menolak tawaran tersebut.

JPJ menerima 18,243 permohonan bagi nombor pendaftaran kenderaan WWW, rekod tertinggi berbanding siri lain dengan hasil pembidaan dianggarkan mencecah RM11.3 juta.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan