Kehadiran Panda Lambang Hubungan Akrab Dengan China - PM

Diterbitkan: Selasa, 12 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Keputusan China untuk membenarkan Malaysia memiliki sepasang beruang panda merupakan lambang kepada hubungan mesra dan akrab antara kedua-dua negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata beruang panda merupakan haiwan berharga bagi China dan kehadirannya di negara ini akan menjadi tarikan utama kepada pelancong tempatan dan asing.

"Saya yakin panda ini akan menjadi tarikan utama bagi rakyat Malaysia dan juga pelawat," katanya pada sesi sembang selama sejam dengan orang ramai menerusi Sesi Sembang NSTLive di laman web NST di sini, Selasa.

Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar China (CWCA) akan meminjamkan dua ekor anak beruang panda selama 10 tahun dan haiwan itu akan ditempatkan di kawasan khas di Taman Wetlands, Putrajaya.

Persetujuan itu, akan ditandatangani pada 15 Jun adalah sebahagian daripada kerjasama antara CWCA dan kerajaan Malaysia sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara. Persetujuan mengenai peminjaman panda itu dibuat susulan permintaan Najib kepada Perdana Menteri China Wen Jiabao semasa lawatan beliau ke Nanning untuk merasmikan Taman Perindustrian Malaysia-China.

Ditanya pendapat beliau mengenai peluang Malaysia meraih pingat emas pada Sukan Olimpik di London, khususnya menerusi jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei, Najib berkata pemain badminton Nombor 1 Dunia itu mempunyai peluang baik untuk memenangi pingat emas.

Bagaimanapun, katanya Chong Wei perlu memperkuatkan azam peribadinya kerana pemain itu akan berdepan musuh tradisinya dari China, Lin Dan.

"Saya mahu semua rakyat Malaysia memberikan sokongan moral kepada Chong Wei kerana saya percaya beliau mampu melakukannya," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan