Enakmen Undang-Undang Pilihan Raya Kerajaan Tempatan P. Pinang Tidak Sah - Chor

Diterbitkan: Selasa, 12 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Enakmen Undang-undang Pilihan raya Kerajaan Tempatan yang diluluskan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang bulan lepas bagi membolehkan anggota majlis perbandaran di negeri itu dipilih oleh rakyat menerusi pilihan raya adalah tidak sah, Persidangan Dewan Rakyat diberitahu pada Selasa.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung berkata Enakmen tersebut bercanggah dengan undang-undang persekutuan iaitu Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) yang memperuntukkan bahawa pilihan raya kerajaan tempatan hendaklah dihentikan.

"Setelah merujuk kepada pihak Jabatan Peguam Negara, didapati bahawa Enakmen tersebut adalah tidak sah dari segi undang-undang kerana Seksyen 15 Akta 171 mengatasi Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 1960 (Akta 473) di mana ia secara jelas memperuntukkan bahawa undang-undang berhubung pilihan raya kerajaan tempatan (iaitu Akta 473 dan Enakmen tersebut) adalah terbatal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Gwo-Burne Loh (PKR-Kelana Jaya) yang mencadangkan pilihan raya kerajaan tempatan diadakan semula supaya anggota Majlis terdiri daripada mereka yang dipilih oleh penduduk setempat.

Chor berkata tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang meluluskan Enakmen tersebut tanpa berunding dengan Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT), jelas bertentangan dengan Perkara 95A(6) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kewajipan kerajaan negeri untuk berunding dengan MNKT berkenaan apa-apa perundangan yang dicadangkan mengenai kerajaan tempatan untuk pertimbangan dan persetujuan sebelum ia dapat dilaksanakan, agar wujud keseragaman.

Jelasnya, walaupun kerajaan tempatan terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, namun sebarang perkara yang melibatkan dasar perundangan mengenainya adalah tertakluk kepada kelulusan MNKT.

Selain itu, beliau berkata kerajaan tetap berpendirian bahawa pilihan raya kerajaan tempatan tidak perlu dilaksanakan kerana dianggap boleh menyebabkan pembaziran sumber kewangan, manusia dan pendapatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang terhad.

Pindaan Sekyen 15 Akta 171 bagi menghentikan pilihan raya kerajaan tempatan bertujuan membolehkan pihak-pihak berkuasa tempatan menumpukan segala usaha mereka terhadap penyampaian perkhidmatan yang berkualiti kepada masyarakat dan kawasan tadbiran mereka, katanya.

Chor juga berkata pilihan raya kerajaan tempatan bukanlah penentu ukur kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan PBT.

"Meskipun sistem pilihan raya tidak lagi diadakan di PBT, namun di bawah Seksyen 10 Akta 171, Ahli Majlis diwujudkan sebagai badan penggubal, perancang dan pelaksana dasar PBT," katanya.

Seksyen itu juga menyatakan syarat utama bagi pelantikan anggota majlis termasuk berpengetahuan luas dalam hal-ehwal kerajaan tempatan, telah mencapai kejayaan membanggakan dalam sesuatu profesion serta mempunyai kebolehan untuk mewakili kepentingan sesebuah kelompok dalam kawasan PBT.

"Dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan ini, maka ahli Majlis dapat memainkan peranannya dengan berkesan bagi membantu PBT," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan