Malaysia Tidak Akan Korban Alam Sekitar Untuk Capai Status Negara Maju

Diterbitkan: Isnin, 11 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

YEOSU: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata dalam keghairahan mencapai status negara maju melalui pelbagai pelan transformasi yang dilakukan, Malaysia tidak akan sesekali mengorbankan alam sekitarnya yang kaya dengan pelbagai jenis flora dan fauna.

Katanya kerajaan mengambil pelbagai langkah untuk memelihara khazanah negara ini termasuk dengan memperkenal undang-undang dan dasar pemuliharaan alam sekitar dan biodiversiti.

"Kita sudah ada garis panduan dasar, dan kita mahu negeri di Malaysia yang punyai hak ke atas tanah, flora dan fauna di bawah tangungjawab mereka, supaya mengambil langkah pembangunan tanpa meninggalkan kesan buruk terhadap alam sekitar, baik pembangunan perumahan dan industri," katanya kepada wartawan Malaysia selepas merasmikan Hari Malaysia dan melawat Pavilion Malaysia di EXPO Yeosu 2012, Korea Selatan.

"Memang tuntutan pembangunan sentiasa ada, desakan guna tanah di kawasan tanaman sentiasa ada, tetapi keseimbangan pertahankan alam sekitar dan pembangunan mesti wujud.

"Ini bukan sahaja tanggungjawab kementerian dan kerajaan, tetapi juga mereka (negeri-negeri) dan saya percaya dalam keghairahan untuk negara maju, Malaysia tidak akan korbankan khazanah alam sekitar yang kita ada," katanya.

Katanya kerajaan sendiri komited untuk memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus negara ini kekal dengan kehijauan alam sekitar seperti yang dipersetujui pada Sidang Kemuncak Rio 1992.

Timbalan Perdana Menteri berkata dalam apa jua peluang pembangunan sekalipun, alam sekitar tidak harus dijadikan korban dan penilaian untuk jangka masa panjang juga harus diambil kira bukan sahaja untuk generasi masa kini tetapi juga generasi akan datang.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata dalam masa yang sama pendidikan terhadap generasi muda juga amat penting untuk menyedarkan mereka tentang pentingnya menghargai khazanah yang ada selain tidak merosakkan alam sekitar.

"Kita tahu ada sesetengah tempat di Malaysia tidak memelihara alam sekitar dengan baik dan perkara ini perlu diberi perhatian bukan sahaja oleh kementerian dan kerajaan, tetapi juga masyarakat," katanya.

Turut mengiringi Muhyiddin ialah isteri beliau Puan Sri Norainee Abdul Rahman, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Douglas Uggah Embas, Duta Besar Malaysia di Korea Selatan Datuk Ramlan Ibrahim serta Pengerusi Jawatankuasa EXPO Yeosu 2012 Kang Dong-suk.

Mengulas penyertaan negara dalam ekspo tiga bulan itu, yang akan berakhir pada 12 Ogos, Muhyiddin berkata ia membolehkan Malaysia mempamerkan kekayaan biodiversiti dan budaya negara selain daripada mengetengahkan usaha kerajaan dalam melindungi alam sekitar.

Pada masa yang sama, beliau berkata pengunjung ke Pavilion Malaysia juga akan didedahkan dengan pelbagai tarikan negara termasuk destinasi ekopelancongan dan pakej inap desa yang popular dalam kalangan pelancong Korea Selatan.

Lebih daripada 230,000 orang telah melawat Pavilion Malaysia yang bertemakan 'Malaysia's Biodiversity Haven: A Gift of Nature', sejak ia dilancarkan pada hari pertama ekspo itu, 11 Mei lepas.

Pelawat ke ekspo itu disajikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan negeri-negeri di Malaysia selama seminggu sempena sambutan Hari Malaysia.

Sebelum itu, dalam ucapanya, Muhyiddin berkata Malaysia telah mengambil langkah yang bersungguh-sungguh untuk memastikan kekayaan alam semula jadi negara menjadi satu peluang untuk menjana ekonomi negara melalui sektor pelancongan.

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan