Kakitangan Felda Layak Terima Saham 2.5 Peratus

Diterbitkan: Isnin, 11 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Kakitangan Felda layak menerima saham 2.5 peratus hasil penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) di Bursa Malaysia, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.

Menurut Ahmad, pemberian itu wajar dilakukan setelah mengambil kira beberapa faktor yang dianalisa secara mendalam oleh Felda tanpa mengabaikan nasib mana-mana pihak.

"Kakitangan dan peneroka Felda masing-masing menerima saham sebanyak 2.5 peratus, namun disebabkan bilangan peneroka lebih ramai berbanding kakitangan, agihan saham yang diterima peneroka kelihatan lebih kecil berbanding kakitangan.

"Kita mempunyai 112,635 peneroka di seluruh negara manakala bilangan kakitangan hanya 23,000 orang," katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas menyampaikan Seminar Pemahaman Wasatiyyah dan Gagasan 1Malaysia di Wisma Darul Iman di sini, Ahad.

Beliau yang juga anggota Parlimen Pontian, berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan akhbar yang mendedahkan terdapat golongan peneroka yang tidak berpuas hati dengan agihan saham yang didakwa berat sebelah oleh Felda kepada kakitangan.

Pemberian 800 unit saham FGVH itu yang bernilai RM4.55 seunit kepada peneroka dikatakan terlalu kecil dan mereka mahu Felda menambah sebanyak 200 unit bagi menjadikannya 1,000 unit saham milik peneroka.

Katanya, beliau akan membentangkan cadangan pemberian tersebut di Parlimen yang bersidang pada Isnin.

Ahmad yang juga bendahari Umno berkata, peneroka mempunyai banyak kelebihan lain berbanding kakitangan Felda antaranya mereka akan memperoleh dividen setiap tahun daripada Tabung Amanah Felda yang memiliki 20 peratus ekuiti FGVH.

"Ini bermakna peneroka akan menerima 22.5 peratus tetapi kakitangan tidak dapat 20 peratus itu.

"Kakitangan juga tidak mendapat tanah kebun dan khairat kematian seperti yang dinikmati peneroka tambahan pula tanah kebun ladang yang disenarai itu adalah kebun Felda yang diuruskan kakitangan terbabit," katanya.

Dalam seminar tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom turut hadir menyampaikan ucapannya dalam seminar yang dihadiri 2,500 peserta yang terdiri daripada kakitangan kerajaan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Produk Berkaitan

Iklan