Gambaran Positif Kuota Haji Malaysia Tidak Terjejas

Diterbitkan: Isnin, 11 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata hasil pertemuannya dengan Menteri Luar Arab Saudi Putera Saud Al Faisal baru-baru ini memberi gambaran positif bahawa kuota haji Malaysia tidak terjejas ekoran perhimpunan Bersih 3.0 di Masjid Nabawi, Madinah dan Masjidil Haram, Mekah pada 26 April lepas.

Beliau berkata pada pertemuan itu, beliau telah menerangkan tentang perkara sebenar berhubung kejadian perhimpunan itu yang bukan menjadi amalan budaya rakyat di negara ini.

"Pertemuan itu menunjukkan perkhabaran positif dan saya percaya melalui hubungan baik Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dengan Raja Arab Saudi (Raja Abdullah) dan hubungan akrab saya dengan Menteri Luar Arab Saudi kuota (haji) tidak terjejas.

"Mereka juga mahu jaminan perkara itu (perhimpunan) tidak akan berlaku lagi pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri makan malam bersama pesara kerajaan di kawasan Parlimen Kimanis di sini, Sabtu malam.

Kerajaan Arab Saudi sebelum ini dilaporkan sedang membuat pertimbangan sama ada untuk mengenakan sekatan atau menggantung jemaah haji dan umrah dari Malaysia berikutan insiden perhimpunan haram di kedua-dua masjid suci itu pada 26 April lepas.

Anifah berharap kuota rakyat Malaysia untuk menunaikan haji pada tahun ini tidak akan terjejas ekoran insiden yang telah mengundang perhatian serius daripada kerajaan Arab Saudi itu.

Katanya, jika kuota untuk tahun ini terjejas ia akan memberi kesan pada tahun akan datang sepertimana yang berlaku pada negara Iran yang digantung selama tiga tahun kerana mengadakan demonstrasi di negara itu.

Namun, beliau percaya kerajaan Arab Saudi tidak akan berbuat sedemikian kerana mereka pernah memuji rakyat Malaysia merupakan jemaah yang terbaik.

Terdahulu ketika berucap, Anifah berkata rakyat di negara ini khususnya Sabah perlu menolak dakyah pihak tertentu terutama pembangkang, sebaliknya menyokong kepimpinan transformasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah berjaya memakmurkan negara ini.

Dalam perkembangan lain, Anifah yang juga anggota Parlimen Kimanis mengajak rakyat di negeri ini terutama pengundi di kawasannya agar memberi sokongan penuh kepada mana-mana calon yang dipilih bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan peribadinya sejumlah RM100,000 bagi Dana Pendidikan untuk membantu anak-anak di kawasan Membakut dan Bongawan manakala RM100,000 bagi penubuhan koperasi belia. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Produk Berkaitan

Iklan