Umat Islam Di Malaysia Perlu Bersyukur - Dr Mahathir

Diterbitkan: Sabtu, 9 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tokoh negarawan Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan umat Islam di Malaysia supaya bersyukur dengan nikmat keamanan dan pembangunan yang dikecapi negara sekarang.

Beliau berkata ada sebahagian umat Islam negara ini yang tidak bersyukur dengan nikmat Allah s.w.t yang dikurniakan kepada penduduk Malaysia dalam bentuk keamanan, perlindungan daripada bencana alam dan pentadbiran kerajaan yang cekap.

"Keadaan kita sebenarnya, kita kurang bersyukur dan kalau kita pergi ke negara-negara lain, tidak payah jauh, dekat-dekat sini pun tidak apa, kita dapati bahawa keadaan mereka lebih buruk daripada kita," kata Perdana Menteri Malaysia Keempat itu kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Saudara Muslim Peringkat Kebangsaan di Pusat Islam di sini Sabtu.

Sebaliknya umat Islam negara ini juga dihasut supaya jangan bersyukur dan diajar untuk memaki orang, katanya.

Beliau menegaskan tidak ada negara lain yang mana umat Islam dan bangsa lain hidup dengan bahagia kecuali di Malaysia sementara dunia menyaksikan keadaan huru-hara dan bencana alam seperti taufan, gempa bumi dan ledakan gunung berapi di tempat lain.

"Jadi janganlah buat angkara. Kalau tengok orang buat demo, demo jatuhkan kerajaan, kita pun hendak buat demo jatuhkan kerajaan, kita ada cara hendak jatuhkan kerajaan iaitu melalui pilihan raya, kalau dapat menang, menanglah, kalau kalah, kalahlah," katanya.

Beliau seterusnya mengingatkan mereka yang tidak bersyukur ini bahawa dalam Al-Quran sudah disebut janji Allah s.w.t di mana mereka yang menidakkan nikmat Tuhan akan ditimpa azab yang pedih.

Beliau berkata sekiranya umat Islam bersyukur, nikmat daripada kurniaan Allah akan dilimpahkan lebih banyak ke atas negara.

Beliau juga berpendapat sekiranya ajaran Islam diperjelaskan dan ditunjukkan dengan betul, ia akan dapat menyatukan seluruh penduduk negara tanpa mengira agama mereka.

Kesukaran untuk berbuat demikian menyebabkan kadang-kadang segelintir penduduk bukan Islam berada dalam keadaan "bermusuh" dengan agama itu disebabkan pandangan negatif mereka, katanya.

"Bukan kita nak paksa orang memeluk agama Islam tetapi pandangan negatif ini menyebabkan kita ini kadang-kadang macam bermusuh, itulah yang menyebabkan kita tidak dapat menyatupadukan rakyat," katanya.

Dr Mahathir turut ditanyakan soalan oleh seorang wartawan dari China yang beragama Islam tentang pandangannya mengenai umat Islam di republik itu berdasarkan lawatannya ke negara itu sebelum ini.

Dr Mahathir berkata semasa lawatan ke daerah-daerah yang didiami penduduk Islam di negara itu, beliau mendapati mereka sangat patuh kepada ajaran agama. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan