Kelangsungan Masa Depan Negara Bergantung Kepada Perpaduan Melayu & Umat Islam - TPM

Diterbitkan: Sabtu, 9 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu berkata rakyat Malaysia tidak boleh menolak hakikat bahawa kelangsungan masa depan negara bergantung kepada perpaduan orang Melayu dan umat Islam sebagai umat majoriti di negara ini.

Beliau berkata sekiranya umat Islam berpecah-belah semata-mata kerana berbeza pandangan politik atau mempunyai fahaman yang berlainan mengenai hal yang berkait dengan soal asas dalam agama, maka perpaduan dan keamanan negara secara keseluruhannya sukar untuk dicapai.

"Oleh itu saya berpandangan bahawa usaha memperkukuhkan perpaduan ummah adalah sesuatu yang amat penting dalam menentukan kestabilan, keamanan dan kemakmuran negara kita," katanya dalam ucapan perasmian Konvensyen Memartabat Islam Memperkasakan Ummah (Kompas) dan pelancaran buku 'Melayu Sepakat Islam Berdaulat' di sini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom manakala buku tersebut adalah hasil karya Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman.

Muhyiddin berkata umat Islam pada hari ini menghadapi pelbagai cabaran terutama kecelaruan fikrah Islam yang berpunca daripada penerimaan budaya dan pemikiran liberal barat secara semberono oleh segelintir umat Islam sendiri.

Malah, katanya sejak akhir-akhir ini, terdapat usaha oleh segelintir pihak untuk memanipulasi perjuangan kebebasan dan hak asasi manusia yang berasaskan fahaman liberal barat untuk mencabar syariat Islam, termasuk kempen untuk membenarkan perkahwinan sejenis, perkahwinan antara pasangan berlainan agama dan amalan seks bebas yang secara terang-terangan dilarang oleh agama Islam dan agama lain.

"Kita tentu sekali tidak ingin melihat kecelaruan fikrah berlaku dalam masyarakat kita yang akhirnya menyebabkan umat Islam berpecah-belah dan tercabut dari akar agamanya.

"Dalam konteks masyarakat Melayu, kita tidak mahu falsafah liberal barat yang meletakkan kehendak dan nafsu individu sebagai matlamat utama kehidupan, menghasilkan bangsa Melayu yang tiada identiti kemelayuan dan ketimurannya, serta hilang jati diri sebagai seorang yang berpegang teguh kepada agama," katanya.

Justeru, Muhyiddin berkata adalah penting umat Islam mewujudkan kesatuan pemikiran (wahdatul fikr) berasaskan ajaran Islam sebenar yang berasaskan al-Quran dan Hadis serta disepakati oleh para ulama secara ijma'.

Oleh itu, katanya umat Islam perlu segera melakukan jihad ilmu dan pemikiran untuk memahami dan menghayati ajaran Islam secara mendalam serta menjadikan Islam sebagai paksi kehidupan.

"Saya percaya Isma dan pertubuhan Islam yang lain boleh memainkan peranan penting dalam mempelopori usaha mewujudkan kesatuan fikrah di kalangan umat Islam dan dengan itu mewujudkan perpaduan ummah.

"Apa yang penting kita mulakan usaha ke arah perpaduan ummah tanpa mengira perbezaan fahaman politik atau kepentingan yang lain, tetapi semata-mata demi kepentingan Islam dengan berpandukan kepada syariat Islam. Apatah lagi perpaduan ummah adalah suatu kewajipan yang amat dituntut oleh Islam," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan