SP Setia, Sime Darby Pembida Pilihan Untuk Projek Di London

Diterbitkan: Jumaat, 8 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Syarikat hartanah gergasi Malaysia SP Setia Bhd dan Sime Darby Property Bhd kini menjadi pembida pilihan bagi projek rebutan Battersea Power Station di London.

Mereka mempunyai saingan daripada beberapa pihak termasuklah daripada jutawan Rusia Roman Abramovich yang juga pemilik kelab bola sepak Inggeris, Chelsea.

SP Setia dan Sime Darby Property membuat tawaran bersama bernilai RM1.96bil (400 juta pound) untuk membangunkan semula hartanah itu.

Kedua-dua syarikat telah memeterai perjanjian eksklusif dengan vendor hartanah, di mana mereka mempunyai 28 hari untuk menjalankan rundingan kontrak. Dalam tempoh ini, vendor tidak akan melayan sebarang tawaran lain.

Bercakap kepada The Star di anugerah "Ernst & Young World Entrepreneur Of The Year" di Monte Carlo, Monaco, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia Tan Sri Liew Kee Sin berkata nilai pembangunan kasar dijangka sebanyak RM40 bilion (8juta pound) dalam usahasama 50:50 dengan kedua-dua firma.

Walaupun nilainya besar, SP Setia dan Sime Darby Property selesa dengan potensi pulangan projek dan nilai pembangunan kasar kerana lokasinya di sepanjang sungai Thames.

"Projek itu adalah sebahagian daripada cita-cita untuk menjadi sebuah syarikat multinasional sebenar. Dengan bergabung dengan Sime Darby, kami mempunyai peluang yang baik untuk berjaya," kata Liew.

Difahamkan tawaran dari Malaysia dipilih bukan sahaja kerana harga yang menarik tetapi juga disebabkan pelan pembangunannya serta keupayaan pembiayaan.

The Star sebelum ini melaporkan bahawa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mungkin mungkin muncul sebagai rakan kongsi kepada kerjasama SP Setia - Sime Darby dan mereka yang melihat situasi ini berkata penyertaan mungkin boleh dibuat di peringkat seterusnya.

Liew berkata "Ideanya adalah untuk menggunakan stesen kuasa sebagai simbol pertumbuhan semula" di London.

Stesen kuasa ini telah digunakan untuk penggambaran kulit album Pink Floyd pada 1977 berjudul "Animals" dan filem "Help" oleh The Beatles pada 1965.

Pengaruh budaya telah menyebabkan kerajaan British menyenaraikannya sebagai bangunan berstatus Gred II, yang bermaksud "bangunan utama yang penting lebih daripada kepentingan khas".

SP Setia dan Sime Darby Property berikrar mengekalkan ciri ikonik loji kuasa Battersea, yang dibina pada tahun 1930-an dan ditutup pada tahun 1983.

Dalam satu kenyataan bersama, Khamis, dua firma ini berkata mereka komited terhadap pembinaan sebuah stesen baru bawah tanah sebagai sebahagian daripada penyambungan Northern Line yang dicadangkan (sebahagian daripada rangkaian kereta api bawah tanah London Tube), yang perlu melalui tapak tersebut.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan