Pelabur Asing Mudah Jalankan Perniagaan Di Malaysia - PM - Berita Semasa | mStar

Pelabur Asing Mudah Jalankan Perniagaan Di Malaysia - PM

Diterbitkan: Jumaat, 8 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata adalah mudah bagi pelabur asing menjalankan perniagaan di negara ini seperti yang dibuktikan dengan kehadiran pakar pertukaran asing utama dunia, Travelex Group, di Malaysia.

Dengan mengatakan bahawa ini adalah bukti untuk lebih ramai pelabur asing menjalankan perniagaan di negara ini, beliau berkata kehadiran mereka di Malaysia adalah sokongan terhadap dasar-dasar yang ada.

"Inilah apa yang kita (Malaysia) cuba beritahu dunia, bahawa adalah mudah untuk menjalankan perniagaan di negara ini," kata Najib pada majlis pelancaran Travelex Malaysia Sdn Bhd di sini.

Perdana Menteri juga berkata Malaysia berasa bangga untuk memperoleh reputasi global dengan peserta perniagaan, dengan menetapkan pengalaman positif paling tinggi, dan peraturan-peraturan untuk membantu mengekalkan standard etika perniagaan.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata kehadiran pasaran Travelex berkenaan, di samping pengendali perkhidmatan wang yang lebih kecil, akan membantu menyokong dan meningkatkan operasi sedia ada mereka, meningkatkan produktiviti dan daya saing.

Beliau berharap Travelex akan mengembangkan perniagaannya ke Sabah dan Sarawak, dengan menyediakan peluang baru berkaitan sumber mata wang.

"Saya tahu bandar-bandar besar di Malaysia akan menjadi tumpuan segera kumpulan dan saya tentunya tidak ragu-ragu mengenai potensinya (Travelex) untuk menambah nilai kepada perkhidmatan perniagaan wang di Sabah dan Sarawak, " kata beliau.

Beliau berkata kerajaan telah bekerja keras untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi utama pelaburan langsung asing dan berbangga Travelex Group memilih Malaysia sebagai pangkalan untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran.

"Saya berharap Travelex Group yang akan berkongsi kepakaran mereka menubuhkan operasi di negara kita dan menggalakkan syarikat-syarikat global yang lain untuk melakukan perkara yang sama," kata beliau.

Mengenai perniagaan perkhidmatan wang di Malaysia, Najib berkata industri pertukaran wang domestik dan kiriman wang telah berkembang dengan ketara sepanjang dekad yang lalu.

Sehingga akhir Mac 2012, terdapat 805 peserta dalam industri, yang terdiri daripada 764 (95 peratus) pengurup wang berlesan, 39 pembekal perkhidmatan pengiriman wang dan dua pemborong mata wang, kata beliau.

Najib berkata jumlah kiriman wang keluar telah mencecah lebih daripada RM15 bilion tahun lepas. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan