Tiada Sekolah Jenis Kebangsaan Ditutup - TPM

Diterbitkan: Khamis, 7 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

HULU SELANGOR: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulangi pendirian kerajaan bahawa tiada mana-mana sekolah jenis kebangsaan yang akan ditutup walaupun bilangan pelajarnya adalah kecil.

Timbalan Perdana Menteri berkata dasar yang dipegang kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama itu tidak akan berubah kecuali masyarakat di tempat berkenaan memutuskan bahawa sekolah itu perlu berpindah.

"Sebahagian besar sekolah-sekolah Tamil menghadapi masalah sama iaitu kekurangan murid di mana ada sekolah yang hanya mempunyai 10 orang murid dengan tujuh guru.

"Tetapi kerana dasar kerajaan, kita tidak akan tutup kecuali masyarakat berpendapat tempat itu sudah tidak sesuai dan perlu berpindah ke tempat lain, maka kerajaan akan benarkan mereka pindah.

"Jadi kalau ada orang kata bahawa ada niat kerajaan tak melayan permintaan sesetengah pihak dengan tujuan nak menutup sekolah-sekolah tertentu, ini tidak betul," katanya ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah pembinaan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Tamil Ladang Bukit Minyak di sini, Khamis.

Hadir sama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar dan Anggota Parlimen Hulu Selangor P.Kamalanathan.

Muhyiddin berkata kerajaan sama sekali tidak menyimpan niat sebegitu sebaliknya setiap permintaan untuk bangunkan projek sedemikian dinilai berdasarkan kepentingan semasa penduduk di sesuatu kawasan kerana pembinaan sekolah memerlukan peruntukan yang besar.

Katanya sebagai Menteri Pelajaran dan pimpinan dalam kerajaan, beliau, khususnya Kementerian Pelajaran sentiasa mengambil kira setiap permohonan bantuan kepada sekolah jenis kebangsaan.

Beliau berkata walaupun sistem pendidikan negara menggunakan bahasa Malaysia atau Melayu sebagai bahasa pengantar utama namun ia tetap mengiktiraf kepentingan bahasa-bahasa yang menjadi bahasa kaum lain untuk dipertahankan.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan BN tidak akan sama sekali mendiskriminasi perkara berkaitan pendidikan, malah pertambahan sekolah jenis kebangsaan membuktikan kerajaan mengiktiraf hak setiap kaum mempelajari dan mempertahankan bahasa ibunda masing-masing.

"Inilah yang dikatakan 1Malaysia, satu keistimewaan negara ini yang kita semua hargai di mana pendirian dan keputusan kerajaan mengenainya perlu diiktiraf dan oleh sebab itulah hari ini kita dapat lihat sekolah-sekolah seperti itu terus dibina oleh kerajaan.

"Oleh kerana itulah sehingga hari ini kerajaan BN masih mempertahankan dasar ini dan tidak sama sekali ada niat untuk menutup mana-mana sekolah sekalipun, malah Menteri Pelajaran juga tidak diperuntukkan dengan kuasa untuk menutup mana-mana sekolah," katanya.

Berhubung pembinaan sekolah di atas tapak seluas 0.8 hektar sumbangan Kumpulan UMW Holdings Berhad bernilai RM2.5 juta itu, Muhyiddin mengharapkan agar pembinaan sekolah itu akan memberi lebih keselesaan dan peluang pendidikan yang lebih baik kepada penduduk setempat.

Sambil mengharapkan projek itu disiapkan kurang daripada dua tahun, beliau juga mahu masyarakat, khususnya kaum India sedar bahawa hanya kerajaan BN yang mampu menunaikan setiap janji bukannya kerajaan negeri diterajui Parti Keadilan Rakyat yang hanya boleh menjanjikan 'bulan dan bintang' tanpa ada keupayaan menunaikannya.

"Dengan keupayaan kita menunaikan janji dan menyelesaikan masalah, saya yakin masyarakat India sudah tahu mana parti yang boleh membantu mereka," katanya sambil disahut laungan Barisan Nasional oleh lebih 500 penduduk yang hadir. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan