Malaysia Sebuah Negara Islam Contoh - Duta Yemen

Diterbitkan: Khamis, 7 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Yemen amat mengagumi pembangunan ekonomi di Malaysia dan mahu mencontohinya, kata Dutanya di sini Abdulla Mohamed Al-Montser.

Untuk itu, Perdana Menteri Yemen Mohamed Salem Basundwa telah mengundang khas bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed, yang beliau sifatkan sebagai "arkitek dan pemikir di sebalik keajaiban ekonomi di Malaysia" ke Saana untuk perbincangan, katanya kepada Bernama dalam wawancara eksklusif di sini, Khamis.

Mahathir dijadual melawat Yemen hari ini. Selain mengadakan pertemuan dengan Mohamed Salem dan menteri-menteri kerajaan yang lain, Dr Mahathir juga dijadual mengadakan pertemuan dengan pemimpin sektor awam dan swasta.

Abdulla berkata Yemen mengagumi kejayaan Malaysia dalam semua bidang dan percaya semua negara Timur Tengah yang lain juga mempunyai pendapat serupa. "Kami semua menyifatkan Malaysia sebagai Negara Islam Progresif Contoh dan amat menghormati Mahathir atas sumbangan beliau dalam meletakkan Malaysia pada kedudukannya pada hari ini," katanya.

Beliau berharap lawatan itu akan dapat meningkatkan lagi hubungan perdagangan, kebudayaan dan ekonomi antara Malaysia dan Yemen.

Bagi tahun 2009/10, Malaysia mengeksport barangan bernilai kira-kira US$500 hingga US$700 juta, terutamanya minyak sawit, kayu balak, produk kimia, produk elektrik dan elektronik ke Yemen dan mengimport minyak mentah, makanan proses, ikan dan produk pertanian bernilai antara US$200-US$250 juta bagi tempoh yang sama.

Selain itu, kapal MISC menjadi pengangkutan utama bagi Gas Cecair Asli (LNG) Yemen manakala kereta nasional Proton juga telah memasuki pasaran Yemen dua tahun lepas dan mencatatkan pertumbuhan baik.

Terdapat kira-kira 600 pelajar Malaysia di Yemen manakala lebih 5,000 pelajar Yemen melanjutkan pengajian di 32 buah universiti awam dan swasta di Malaysia. Abdulla berkata kini terdapat banyak potensi bagi perniagaan Malaysia untuk menerokai pasaran Yemen berikutan negara itu sedang melaksanakan pelbagai program pembangunan infrastruktur seperti menaik taraf lapangan-lapangan terbang, pelabuhan-pelabuhan, beberapa lebuh raya, stesen-stesen kuasa, loji-loji sanitasi air, institut-institut teknikal, kolej-kolej komuniti dan pelbagai projek pembangunan luar bandar.

Katanya mesyuarat peringkat menteri "Friends of Yemen" termasuk Malaysia telah mengadakan mesyuarat pertama di Arab Saudi bulan lepas untuk menilai situasi politik dan membincangkan bantuan segera kepada negara itu.

Mesyuarat kedua kumpulan itu, yang turut termasuk negara-negara di Eropah dan Timur Tengah akan diadakan akhir bulan ini, dengan negara-negara berkenaan dijangka mengikrarkan dana bagi pelbagai projek pembangunan, kata Abdulla.

Arab Saudi telah mengorak langkah pertama dengan mengikrarkan lebih US$3.25 bilion.

Sejak berlakunya rusuhan di Yemen pada 2011, keadaan di negara itu kini semakin aman selepas persetujuan dicapai untuk menamatkan rusuhan, hasil usaha negara-negara Majlis Kerjasama Teluk yang diketuai Arab Saudi dan disokong masyarakat antarabangsa.

Fasa pertama persetujuan itu dilaksanakan dengan penubuhan kerajaan perpaduan nasional dan pilihan raya presiden pada 21 Feb tahun lepas.

Sementara itu, bagi fasa kedua selama dua tahun yang sedang dilaksanakan sekarang menyaksikan penstrukturan semula tentera, mengadakan dialog nasional, mendraf perlembagaan baharu, referendum mengenai perlembagaan dan pilihan raya Parlimen, kata Abdulla. -BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Kolumnis

iklan

Iklan