PM Malaysia Mesti Orang Melayu - Tokoh Sejarah Negara

Diterbitkan: Rabu, 6 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia mesti seorang Melayu yang beragama Islam walaupun tiada undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan yang menghalang orang bukan Melayu menjawat jawatan itu kerana majoriti penduduk negara ini adalah orang Melayu, kata seorang tokoh sejarah pada Rabu.

Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim berkata semua orang mesti menerima hakikat bahawa orang Melayu adalah penduduk asal Tanah Melayu (nama Malaysia sebelum merdeka) dan jumlah orang Melayu adalah majoriti berbanding kaum lain.

"Pihak British juga telah mengiktirafkan Malaysia sebagai 'Malay States' ketika negara belum mencapai kemerdekaan.

"Dari sudut sejarah, sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan, pemerintahan utama tertinggi di Malaysia adalah golongan raja-raja, iaitu orang Melayu yang beragama Islam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi tetamu rancangan Dalam Radar Khas bertajuk 'Demokrasi di Malaysia: Perdana Menteri Bukan Melayu' terbitan Radio24 dengan kerjasama portal berita, AntaraPos.com pada Rabu.

Turut menjadi tetamu ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah dan Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Isu Perdana Menteri bukan Melayu timbul ekoran kenyataan Pengerusi DAP Karpal Singh baru-baru ini yang menegaskan bahawa selagi hidup, beliau akan terus berjuang untuk memastikan seorang bukan Melayu menyandang jawatan Perdana Menteri.

Menurut Karpal Singh meskipun ketika ini pakatan pembangkang bersetuju bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah calon paling layak memegang jawatan nombor satu negara, namun beliau secara peribadi menganggap tidak ada undang-undang yang boleh menghalang jawatan itu disandang oleh calon bukan Melayu.

Mengulas kenyataan itu, Khoo berkata perkara itu tidak boleh berlaku kerana jumlah anggota parlimen di Dewan Rakyat dan Dewan Negara daripada kalangan orang Melayu adalah lebih ramai berbanding kaum lain.

Saifuddin berkata isu itu tidak harus dibangkitkan oleh Karpal Singh kerana ketua pembangkang sendiripun adalah orang Melayu yang beragama Islam.

"Sedangkan anggota pembangkang sendiri memilih orang Melayu sebagai ketua pembangkang... kenapa pula nak timbul isu mengenai seorang bukan Melayu jadi Perdana Menteri," katanya.

Beliau berkata isu mengenainya tidak harus dipolitikkan dan dijadikan bahan untuk diketengahkan menjelang pilihan raya umum ke-13 kelak.

Shamsul Iskandar pula berkata isu itu hanya pandangan peribadi Karpal Singh dan orang Melayu tidak harus bimbang mengenai perkara itu.

Beliau berkata, Malaysia mengamalkan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen maka rakyat yang berketurunan Melayu mempunyai hak yang istimewa berbanding bangsa lain di Malaysia dan orang Melayu tidak seharusnya bimbang dengan pandangan anggota parlimen veteran itu. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan