Majikan Mungkin Kurang Ambil Pekerja Berikutan Dasar Gaji Minimum

Diterbitkan: Rabu, 6 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Satu kajian yang dijalankan oleh JobStreet.com berhubung dasar gaji minimum yang baru mendapat pelbagai maklum balas daripada majikan.

Kerajaan baru-baru ini mengumumkan gaji minimum RM900 bagi Semenanjung dan RM800 untuk Sabah dan Sarawak.

Kajian berkenaan yang disertai oleh 1,520 kakitangan sumber manusia, mendedahkan bahawa 44 peratus tidak bersetuju dengan dasar gaji minimum yang baru, 33 peratus bersetuju manakala 23 peratus kekal status quo.

Semasa ditanya sekiranya syarikat akan kurang mengambil pekerja, melaksanakan pemberhentian atau mengurangkan pekerjanya, terdapat keputusan yang berbelah bahagi.

"Kira-kira 43 peratus berkata mereka boleh berbuat demikian manakala 42 peratus lagi berkata mereka tidak akan melakukannya. Baki 15 peratus tidak pasti," demikian menurut hasil kajian itu.

Majikan juga merasakan tekanan untuk meningkatkan gaji ke tahap yang lebih tinggi pekerja mahir kerana 65 peratus percaya pekerja-pekerja mereka akan menuntut kenaikan gaji juga.

"Kira-kira 47 peratus daripada responden menjangkakan bahawa syarikat mereka akan terpaksa memindahkan kos kepada pengguna. Sebanyak 26 peratus sebaliknya berkata syarikat mereka tidak akan menaikkan harga manakala baki 27 peratus tidak pasti keputusan itu," katanya dalam satu kenyataan.

Kaji selidik itu mendapati majoriti responden atau 78 peratus percaya bahawa syarikat mereka telah membayar gaji yang wajar kepada golongan berpendapatan rendah.

Mengenai soalan berapa banyak gaji minimum sepatutnya bagi para pekerja, 35 peratus berkata ia perlu berada di bawah RM900, 27 peratus merasakan antara RM900 dan RM1,100 adalah ideal dan 15 peratus berkata RM1,100 dan ke atas.

Baki 23 peratus tidak bersetuju dengan dasar menetapkan gaji minimum gaji, kata kajian yang dijalankan oleh JobStreet.com pada Mei.

JobStreet.com adalah syarikat pengambilan pekerja dalam talian yang kini meliputi pasaran pekerjaan di Malaysia, Singapura, Filipina, Indonesia, India, Jepun, Thailand dan Vietnam.

Kumpulan kini memberi perkhidmatan kepada lebih 80,000 pelanggan korporat dan lebih daripada 10 juta pencari kerja dalam pangkalan data. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan