Kesatuan Guru & PIBG Sokong Cadangan Wajibkan Guru Baru Miliki Ijazah

Diterbitkan: Rabu, 6 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) pada Rabu menyambut baik cadangan kerajaan untuk mewajibkan semua guru baru memiliki ijazah menjelang tahun 2020 sebagai syarat menyertai profesion perguruan.

Presidennya Hashim Adnan berkata langkah tersebut bagi memastikan guru baru yang terpilih untuk mengajar di sesebuah sekolah merupakan mereka yang benar-benar mempunyai kualiti sebagai seorang pendidik.

"Ia cadangan yang bagus malah pada saya tempoh 2020 wajar diawalkan kepada 2017 berdasarkan sistem pendidikan yang jauh lebih baik disediakan kerajaan pada hari ini, sebagai contoh peluang yang disediakan kepada bakal guru untuk menyambung pengajian tanpa perlu membuat sebarang bayaran.

"Justeru, sebaik sahaja tamat pengajian dalam tempoh tiga hingga empat tahun mereka (guru baru) boleh keluar dan terus mengajar di tempat yang ditetapkan dengan kelayakan ijazah yang diperoleh," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, Rabu.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris hari ini berhubung beberapa cadangan yang terkandung dalam Pelan Pendidikan Strategik Interim: Kementerian Pelajaran Malaysia 2011-2012.

Antara kandungan laporan tersebut termasuklah mewajibkan setiap guru baru memiliki ijazah menjelang tahun 2020 serta pemberian biasiswa pendidikan kepada guru cemerlang yang mendapat purata gred 3.0 ketika pengajian bermula tahun depan.

Selain itu, ia turut menyentuh mengenai khidmat bantuan jurulatih kepada guru baru, program latihan yang melibatkan agensi tempatan dan antarabangsa, menggalakkan guru baru menceburkan diri dalam bidang kemasyarakatan serta pendidikan formal kanak-kanak seawal usia lima tahun.

Hashim dalam masa yang sama mengalu-alukan cadangan kerajaan memberikan bantuan jurulatih dan biasiswa pendidikan kepada bakal guru yang memperoleh keputusan cemerlang ketika pengajian kerana ia menggalakkan golongan tersebut menjadi pendidik yang bertanggungjawab dan berdaya saing.

Ketika diminta mengulas mengenai cadangan menyediakan pendidikan formal seawal usia lima tahun bagi kanak-kanak di negara ini, Hashim berkata ia merupakan pilihan ibu bapa untuk menghantar anak mereka pada usia yang lebih awal atau sebaliknya ke sekolah.

"Pendidikan adalah bebas dan bersifat pilihan individu...maka ia terpulang kepada ibu bapa untuk menghantar anak mereka sewal usia lima atau enam tahun ke sekolah bergantung kepada kemampuan dan juga keupayaan kanak-kanak itu sendiri. "Saya menyokong sekiranya ibu bapa mahu anak-anak mereka mendapat pendidikan formal seawal usia lima tahun namun dalam masa yang sama tahap keupayaan setiap kanak-kanak adalah berbeza...dalam isu ini unsur paksaan tidak harus berlaku terhadap anak-anak oleh ibu bapa," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat, Mohamed Sabri Mohd Arsad berkata cadangan mewajibkan semua guru baru mempunyai ijazah menjelang tahun 2020 merupakan satu pendekatan yang positif kerana pendidikan merupakan intipati penting dalam pembangunan negara untuk jangka masa panjang.

Katanya, dalam konteks dasar langit terbuka pada hari ini peranan pendidik sangat diperlukan bagi membantu ibu bapa memantau aktiviti anak mereka terutama ketika berada di kawasan sekolah.

"Jika kita masih mengambil guru yang kurang ilmu, saya bimbang mereka tidak mampu menjalankan tugas mereka dengan baik sekaligus tidak dapat menangani masalah dan memimpin murid ke arah yang lebih baik. "Mengenai pemberian biasiswa, ia merupakan inisiatif yang baik kerana di samping menghargai kecemerlangan mereka, kita juga secara tidak langsung berupaya melahirkan golongan pendidik yang mampu bersaing dengan kelebihan yang ada pada pendidik negara luar seperti di Singapura, Korea Selatan dan Jepun," katanya. Mohamed Sabri turut menasihatkan guru-guru baru diberikan pendedahan yang lebih meluas dalam isu kemasyarakatan bagi mengelakkan mereka menghadapi sebarang kesulitan apabila dihantar bertugas ke sesebuah daerah apabila diarahkan.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Mohd Ali Hassan berkata sama ada seorang guru baru itu mempunyai ijazah atau tidak bukanlah menjadi perkara utama sebaliknya sikap dan profesionalisme golongan itu yang wajar dijadikan keutamaan. "Pihak kami tidak mempunyai halangan berhubung cadangan tersebut namun apa yang penting adalah sikap guru itu sendiri yang mampu menjalankan tugas mereka dengan baik berasaskan tiga perkara iaitu ASK 'Attitude, Skills dan Knowledge (Sikap, Kemahiran dan Pengetahuan)'. "Profesionalisme seorang guru sangat penting kerana bukan ijazah berjela yang kami pihak PIBG pandang tapi tahap dedikasi mereka terhadap profesion perguruan termasuklah dalam aspek mengajar, kesabaran serta proaktif," katanya.

Mohd Ali berkata mempunyai ijazah asas dalam jurusan sama seperti yang diajar juga perlu diberikan perhatian bagi mengelakkan guru berasa terbeban dan keliru dengan mata pelajaran yang diajar.

Selain itu, katanya, guru baru sememangnya diharapkan dapat melibatkan diri mereka dalam bidang kemasyarakatan kerana tugas sebagai pendidik bukan sahaja terhad di sekolah. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan