Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani Tetapkan KPI Pegawai Kanan

Diterbitkan: Rabu, 6 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Seramai 29 pegawai kanan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada Rabu menandatangani kad penilaian Indeks Prestasi Utama (KPI), yang merupakan satu daripada mekanisme bagi tujuan memantau dan menilai prestasi mereka.

Menterinya Datuk Seri Noh Omar berkata mekanisme KPI itu diperkenalkan di peringkat pegawai-pegawai kanan kementerian dalam usaha memastikan segala tanggungjawab, amanah dan mandat yang disandarkan kerajaan kepada mereka dapat disempurnakan.

Beliau berkata KPI itu akan memudahkan pihak kementerian menyemak dan menilai prestasi para pegawai, dengan melihat kepada pencapaian sasaran yang ditetapkan.

"Ia bukan bertujuan menghukum, prestasi pegawai dinilai mengikut pencapaian KPI, ia bukan soal tatatertib, tapi kita nak lihat bagaimana nak menambah nilai, membaik pulih, nak bantu dia (pegawai), kenal pasti apa kekurangannya, apa sebab sasaran tak tercapai," katanya dalam sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani KPI oleh pegawai-pegawai berkenaan.

Menurutnya secara keseluruhan terdapat 191 perkara yang terdapat dalam semua KPI itu perlu dilaksanakan dan dicapai oleh 29 pegawai berkenaan, yang termasuk Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian, ketua-ketua pengarah jabatan serta agensi di bawah kementerian.

Noh berkata KPI bukan berhasrat memberi tekanan terhadap para pegawai, namun sasaran mereka itu seharusnya dapat disempurnakan kerana pada dasarnya mereka sendiri yang membuat ketetapan mengenai perancangan dan sasaran berkenaan.

Beliau berkata jika di peringkat kerajaan setiap menteri ditetapkan dengan KPI yang memerlukan mereka membuat laporan terus kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak setiap enam bulan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pula mengambil inisiatif melaksanakan konsep KPI itu secara menyeluruh, sehingga peringkat Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian sendiri perlu membuat laporan KPI kepada satu pasukan petugas khas setiap enam bulan.

Menurutnya pasukan petugas khas itu akan sentiasa menyemak KPI yang ditetapkan dan memangil pegawai terbabit untuk mendapatkan penjelasan sekiranya pegawai berkenaan gagal mencapai KPI.

"Sebagai menteri saya lihat apabila KPI ini tercapai, peranan serta komitmen untuk bangunkan sektor pertanian akan dapat disempurnakan lagi, dan pembelaan terhadap nasib para petani nelayan dan penternak juga dapat ditingkatkan," katanya.

Noh berkata ini kerana beliau tidak mahu melihat sesuatu tahap pencapaian itu diberikan secara umum sahaja, contohnya jika sasaran adalah untuk basmi kemiskinan, beliau mahu melihat dengan jelas dan terperinci berapa jumlahnya, berapa sasarannya, pencapaianya dan buktinya sekali. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Jumaat, 13 Oktober 2017 2:30 PM

Ruhainies Bersedia Untuk Berkeluarga

Kolumnis

iklan

Iklan