JTK, Jabatan Imigresen Sedia Hadapi Gelombang Kemasukan Pembantu Rumah

Diterbitkan: Rabu, 6 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Jabatan Imigresen bersedia menghadapi gelombang kemasukan pembantu rumah Indonesia ke negara ini dan memastikan proses permohonan untuk mendapatkan khidmat pekerja dari negara jiran itu berjalan lancar.

Ketua Pengarah JTK, Mohd Jeffrey Joakim berkata, pihaknya melakukan persediaan bagi menampung keperluan dan permintaan majikan di Malaysia.

“JTK sudah lama bersedia. Jika berlakunya lambakan permohonan mereka (pembantu rumah), kami akan meningkatkan kapasiti dalaman bagi memenuhi keperluan yang meningkat itu.

“Penubuhan Pasukan Petugas Bersama (JTF) bagi memantau pelaksanaan perjanjian persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Indonesia berkaitan pengambilan pembantu rumah turut membantu mempercepatkan proses permohonan,” katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini Selasa.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerja Asing Malaysia (Pikap), Datuk Raja Zulkepley Dahlan yang khuatir sama ada Jabatan Imigresen dan JTK bersedia menerima gelombang kemasukan pembantu rumah dan memastikan semua proses permohonan berjalan lancar.

Raja Zulkepley yang dipetik dalam sebuah laporan akhbar pada Selasa berkata, kira-kira 8,000 pembantu rumah Indonesia akan memasuki negara ini, berdasarkan anggaran kemasukan untuk memenuhi kira-kira 100,000 permohonan khidmat pembantu rumah.

Mohd Jeffrey berkata, proses permohonan yang paling penting bagi mendapatkan khidmat pembantu rumah adalah surat perakuan pengambilan pembantu rumah asing.

“JTK telah menetapkan tempoh antara sehari sehingga tujuh hari bagi mengeluarkan surat perakuan itu selepas menilai beberapa perkara berkaitan majikan,” katanya.

Antara penilaian terhadap majikan adalah kesesuaian mereka dari segi keupayaan kewangan untuk menggaji pembantu rumah dan bersih dari segi rekod jenayah.

“Kebiasaannya perkara yang berbangkit adalah masalah penggajian dan sebarang isu lain akan diperhalusi untuk mempercepatkan proses permohonan,” kata Mohd Jeffrey.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Alias Ahmad pula berkata, pihaknya turut bersedia memastikan proses permohonan lancar kerana mempunyai kapasiti dan keupayaan yang mencukupi.

Alias berkata, Jabatan Imigresen memproses secara purata kira-kira 1,000 permohonan pekerja asing termasuk pembantu rumah setiap bulan.

Beliau menambah, tempoh bagi Jabatan Imigresen memproses permohonan pembantu rumah dalam tempoh dua minggu.

“Kami perlu meneliti sama ada pembantu rumah itu tidak disenaraihitamkan dalam rekod imigresen dan semua dokumen mereka adalah benar.

“Rekod majikan juga perlu dipastikan bersih daripada senarai hitam imigresen,” kata beliau sambil menambah, ia termasuk keupayaan kewangan majikan dan tujuan mereka mengambil pembantu rumah.

Menurut Alias, beliau akan mengarahkan pegawainya untuk bekerja pada waktu tambahan termasuk hari minggu sekiranya jumlah permohonan amat tinggi.

“Jika diperlukan, kami juga akan mendapatkan khidmat pegawai-pegawai Jabatan Imigresen dari bahagian lain bagi melancarkan proses permohonan,” katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan